arena

FELDA sedia buru 3 mata

Oleh Asrol Awang

PEMAIN tengah FELDA United FC, Christie Jayaseelan terkilan kelab itu memulakan kempen Piala Malaysia dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Melaka United, Ahad lalu.

Bagi pemain kelahiran Kajang, Selangor itu, kejayaan meraih satu mata bukannya keputusan yang diinginkan skuad juara Liga Perdana itu, walaupun sedar lawannya beraksi dalam Liga Super musim ini.

"Kami terlepas tiga mata di laman sendiri yang sudah tentu mengecewakan selepas memberi sepenuh komitmen tetapi dinafikan lawan yang begitu kebal di bahagian pertahanan.

"Namun, saya percaya keputusan seri ini tidak menjejaskan fokus kami untuk bangkit dengan lebih bersemangat untuk mencatat kemenangan pada perlawanan kedua nanti," katanya.

Ditanya peluang meraih tiga mata bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ahad ini, Christie mengakui kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata mencatat kemenangan.

Katanya, biarpun dua rekod pertemuan memihak kepada The Fighters dalam saingan Liga Perdana musim ini iaitu masing-masing satu kemenangan dan seri, Felda United perlu menang untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan B.

"Kami tidak boleh tewas kepada The Cops jika mahu mengisi dua slot suku akhir piala berprestij ini.

"Tetapi kami juga tidak boleh memandang mudah keupayaan lawan kerana mereka juga mahukan kemenangan selepas tewas 2-5 kepada PKNS FC. 

“Oleh itu, prestasi lebih baik terutama ketajaman jentera serangan menjadi fokus utama untuk membolosi gawang PDRM," katanya. 

 

 

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 2:46pm
d