arena

FELCRA tetap hormati KL

Oleh Rodly Fadly

KEMELUT dihadapi Kuala Lumpur berikutan kekalahan besar 1-5 kepada Terengganu FC dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia, Sabtu lalu, tidak memberi sebarang kelebihan kepada FELCRA FC apabila mereka bertemu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

Sebaliknya, jurulatih FELCRA, Tarcisio Pugliese berasakan situasi dialami lawannya itu akan meletuskan semangat luar biasa yang pasti memberi kesukaran kepada anak buahnya.

“Selepas kalah besar kepada Terengganu, sudah pasti Kuala Lumpur mahu bangkit mencari kemenangan. Saya yakin mereka akan memberikan segala-galanya dalam perlawanan menentang kami nanti.

“Mereka sudah membuktikan dalam Liga Super apabila bangkit daripada kekalahan dengan mencipta kemenangan pada perlawanan berikutnya.

“Malah, sudah pasti jurulatih yang mengambil alih tugas Fabio akan tampil dengan strategi serta taktik berbeza. Ia sedikit sebanyak menyukarkan saya untuk membaca corak permainan yang mereka tampilkan,” kata Pugliese.

Kuala Lumpur kini dikendalikan sementara oleh penolong jurulatih, Chong Yee Fatt susulan tindakan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) merehatkan jurulatih dari Brazil, Fabio Maciel serta-merta selepas kekalahan mengaibkan di tangan Terengganu.

FELCRA, pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan A, memulakan kempen Piala Malaysia dengan positif apabila mengikat Perak 0-0 di gelanggang lawan.

Keputusan itu diakui Pugliese menjadi suntikan semangat kepada The Rivals untuk meneruskan rentak dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur, Ahad ini menjadi buruannya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 3:50pm
d