arena

Kirandeep pemain termuda skuad negara

Oleh Jugjet Singh

 

KUALA LUMPUR: Pada umur 15 tahun, Kirandeep Kaur muncul pemain hoki termuda bagi skuad hoki wanita negara yang akan bertanding di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Perjalanan Kirandeep bagaimanapun bukanlah mudah dan dia menemui pelbagai halangan bagi mendapatkan tiket ke temasya itu tetapi tetap menjadi kenyataan hasil percaturan berani jurulatih berpengalaman, K Dharmaraj.

Kirandeep hanya dipanggil menyertai sesi latihan oleh Dharmaraj pada Mei lalu dan pelajar tingkatan tiga SMK Bukit Bandaraya, Bangsar itu kemudian dibawa ke Siri Dunia di Singapura sebulan kemudian.

Pemain itu diturunkan dalam enam perlawanan dan menjaringkan gol pertamanya dalam final menentang Thailand apabila Malaysia menang 6-0.

Prestasi meyakinkan yang dipamerkan itu membolehkan dia terus disenaraikan ke jelajah hoki di Brisbane baru-baru ini di mana Malaysia menang tiga dan seri dua kali.

Bagaimanapun, nama Kirandeep tidak ada dalam senarai yang dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetapi selepas rayuan yang dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Majlis Olimpik Asia bersetuju memberi kad akreditasi kepada pemain remaja itu, semalam.

Justeru, Kirandeep mencipta sejarah sebagai pemain termuda yang pernah mewakili skuad hoki kebangsaan - tidak kira lelaki atau wanita.

MHC dijangka mengeluarkan senarai pemain dalam pasukan lelaki dan wanita ke Sukan Asia, hari ini.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 6:50pm
d