arena

United halang Pogba pindah

Oleh Agensi

LONDON: Manchester United sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan Paul Pogba berpindah Barcelona kerana bimbang gagal mencari pengganti sesuai apatah lagi jendela perpindahan pemain akan ditutup esok.

Malam tadi, Sportsmail melaporkan Pogba sudah menyuarakan hasrat untuk berpindah ke Barca yang dilaporkan bersetuju menawarkan kontrak £350,000 (RM1.8 juta) seminggu kepadanya.

Bagaimanapun, menurut Sport, ketika tarikh akhir untuk United mencari pengganti akan ditutup jam 5 petang esok, Barca kini mempertimbangkan langkah memancing Frenkie de Jong sebagai alternatif sekiranya Red Devils enggan menjual Pogba.

Barca sudah mengikat Arturo Vidal untuk mengisi posisi tengah dan berminat untuk membeli seorang lagi pemain susulan ketiadaan Andres Iniesta dan Paulinho.

United menegaskan bahawa Pogba bukan untuk dijual, hanya dua hari sebelum skuad kendalian Jose Mourinho itu memulakan musim baru berdepan Leicester.

Mereka mungkin mempunyai peluang tipis untuk mencari pengganti jika membenarkan Pogba berpindah.

Difahamkan, Pogba bersetuju dengan syarat kelab gergasi Catalan itu pada nilai melebihi £89.5 juta (RM473 juta) untuk tempoh lima tahun - gaji asas £18 juta (RM95 juta) bersamaan £346,000 (RM1.8 juta) seminggu - menerusi ejennya, Mino Raiola dan menyuarakan hasrat untuk berpindah ke Nou Camp.

Sementara itu, De Jong dikaitkan dengan perpindahan ke Nou Camp sepanjang musim panas lalu tetapi Ajax menafikan ada menerima tawaran untuk menjual salah seorang bintang muda mereka.

Bulan lalu, pengarah bola sepak di Ajax, Marc Overmars sudah mengingatkan Barcelona bahawa mereka tidak akan menjual mana-mana pemain mereka yang berbakat.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 7:35pm
d