arena

Adam tekad bangkit

Oleh Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin berazam untuk menebus kesilapan yang menyaksikan dia kemalangan pada Grand Prix Republik Czech hujung minggu lalu.

Penunggang PETRONAS Sprinta Racing itu berpeluang menebusnya pada GP Austria di Red Bull Ring, Spielberg, bermula Jumaat ini.

Adam di landasan tepat untuk menamatkan saingan dengan memungut satu mata di kedudukan ke-14 di Litar Brno minggu lalu tetapi tersilap perhitungan pada pusingan terakhir.

Dia memperlahankan jentera selepas melintasi garisan penamat sambil berasakan perlumbaan sudah tamat dan kemudian berkedudukan terakhir apabila menyedari kesilapan dilakukannya.

Dia kemudian mengalami kemalangan ketika cuba untuk mendapatkan semula kedudukan pada pusingan terakhir.

Pelumba berusia 20 tahun yang sudah tiga musim berada dalam kelas perlumbaan itu, amat kecewa dengan apa yang berlaku.

“Saya meminta maaf kepada pasukan, saya membuat kesilapan bodoh dan kemaafan itu sebenarnya tidak mencukupi,” kata Adam yang menamatkan saingan di tangga kelapan di Red Bull Ring tahun lalu.

“Saya rasa sudah berada di pusingan terakhir dan saya memperlahankan jentera, saya kehilangan semua posisi. Saya meminta maaf kepada setiap orang.

“Saya gembira kerana ada satu lagi perlumbaan selepas ini (di Austria) kerana saya mahu melakukan apa saja untuk menebus kesilapan itu.

“Saya tidak mahu mengecewakan mereka sekali lagi, saya akan lebih fokus dan cuba memberi tekanan lebih baik.”

Perlumbaan di Brno menyaksikan kali keempat Adam kemalangan tahun ini. Dia kini di tangga ke-20 keseluruhan Moto3 dengan 24 mata.

Masa depannya bersama pasukan itu banyak bergantung kepada persembahannya pada baki sembilan perlumbaan musim ini.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 7:55pm
d