arena

Kepa tebus kontrak

Oleh Reuters

LONDON: Penjaga gol Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga membayar klausa tebus kontraknya bernilai €80 juta (RM377 juta) dengan kelab La Liga Sepanyol itu menjelang jangkaan dia berpindah ke Chelsea.

Pemain berusia 23 tahun itu dijangka menandatangani kontrak dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini, dengan penjaga gol semasa Thibaut Courtois mahu berpindah ke Real Madrid.

“La Liga mengesahkan kepada kami Kepa Arrizabalaga sudah memenuhi tuntutan bagi menamatkan kontraknya dengan Athletic Bilbao,” menurut Bilbao dalam satu kenyataan.

“Dia menamatkan ikatan dengan kami sejak bermain pada musim 2004-05 dan jumlah pampasan yang terkandung dalam kontrak itu sudah dibayar.”

Pada tanda harga €80 juta, Arrizabalaga akan muncul sebagai penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak, mengatasi pemain Liverpool, Alisson Becker, yang berpindah dari AS Roma dengan harga €75 juta (RM354 juta) pada awal jendela perpindahan kali ini.

Selepas kuat dikaitkan dengan Real Madrid, Arrizabalaga menandatangani kontrak baru bersama Bilbao pada Januari lalu yang meningkatkan klausa tebus kontrak kepada €80 juta.

Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri memuji Arrizabalaga, awal pagi tadi.

“Saya menyaksikan (Kepa) tahun lalu, tanggapan pertama saya dia penjaga gol yang amat bagus, masih muda tapi terlalu bagus,” kata jurulatih warga Itali itu selepas pasukannya seri 0-0 dengan Olympique Lyonnais pada satu aksi persahabatan.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 9:05pm
d