arena

4,000 kakitangan PKNS terima tiket

Oleh Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Warga kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima 4,000 tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor pada 25 Ogos ini.

Pemberian itu adalah daripada Jawatankuasa The Sultan Selangor Cup (TSSC) sempena ulang tahun PKNS ke-54 tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, tiket percuma itu sebagai penghargaan kepada kakitangan dan anak syarikat kumpulan yang berkhidmat dengan PKNS.

“Jawatankuasa TSSC menyumbangkan 4,000 tiket percuma khas buat seluruh warga kerja PKNS.

“Tiket ini akan diagihkan kepada Persatuan dan Kelab PKNS, Anak-Anak Syarikat PKNS, Akademi PKNS FC dan Kelab Penyokong PKNS FC.

“Jelajah Publisiti dan Penyerahan tiket ini sebagai publisiti dan rangka promosi untuk jabatan kerajaan serta swasta terutama yang memberi tajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Jelajah Publisiti yang disertai PKNS FC dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2018 oleh Pengerusi TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar di Ibu Pejabat PKNS di Seksyen 14 di sini hari ini.

Noraida berkata, pihaknya menaruh harapan agar Piala Sultan Selangor kembali ke Selangor.

“Seperti kita sedia maklum perlawanan ini akan diadakan di Stadium Shah Alam dan selaku penyumbang utama, PKNS harap pemain pilihan ini akan menampilkan mutu permainan tinggi dan berharap Piala Sultan Selangor ini pulang ke Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Karim berkata, pihaknya yakin sekurang-kurangnya 70,000 penonton akan membanjiri Stadium Shah Alam tahun ini.

“Semua dijemput datang membanjiri stadium nanti. Antara acara disediakan termasuk persembahan artis, cabutan bertuah selain tumpuan terarah kepada misi Selangor bagi merebut kembali tiga piala yang terlepas ke tangan Singapura bagi kategori sekolah bawah 16 tahun, veteran dan pilihan Selangor-Singapura,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal berkata, pemainnya berlatih seperti biasa dan akan memberikan fokus sewajarnya menjelang perlawanan Piala Sultan Selangor 2018.

“Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum menjelang perlawanan Piala Sultan Selangor 2018 nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 9:11pm
d