arena

Courtois milik Madrid, Arrizabalaga ke Chelsea

Oleh AFP

REAL Madrid sah mengikat pemain Belgium, Thibaut Courtois dari Chelsea, manakala pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic beralih arah ke kelab London itu secara pinjaman.

Courtois bersetuju dengan kontrak selama enam tahun dan Real bersedia membayar 35 juta euro (RM165.64 juta) bagi mendapatkan penjaga gol Belgium itu, lapor media Sepanyol.

“Pemenang Tangan Emas pada Piala Dunia sebelum ini menandatangani kontrak bersama juara Liga Juara-Juara selepas prestasi menakjubkan di Russia,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan.

“Selepas ujian kesihatan pada Khamis 9 Ogos, pemain itu dijadual muncul di Santiago Bernabeu.”

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu pernah beraksi bersama Atletico Madrid secara pinjaman selama tiga tahun dari  2011 hingga 2014 sebelum ke Chelsea dan menyatakan hasrat untuk kembali ke ibu kota Sepanyol. 

“Saya mahu menzahirkan kesyukuran kerana empat tahun yang penuh menarik. Chelsea akan sentiasa menjadi tempat menarik di dalam hati saya,” kata Courtois.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana sokongan padu yang diberikan sepanjang tahun itu. Saya harap kamu memahami yang berada lebih dekat dengan anak saya adalah keputusan terbaik untuk saya.”

Coutois mempunyai 154 kali penampilan bersama Chelsea sejak tiba di Stamford Bridge pada 2011.

Courtois dijangka mengambilalih tugas penjaga gol utama yang dipegang Julen Lopetegui di Santiago Bernabeu, manakala Keylor Navas dan Kiko Casilla mungkin diturunkan pangkat.

Sementara itu, Chelsea juga melengkapkan pemindahan penjaga gol Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga dengan rekod termahal dunia, 80 juta euro (RM378.61 juta) dan pemain berusia 23 tahun itu mengikat kontrak selama tujuh tahun.

“Ia satu keputusan yang sangat penting buat saya, karier dan juga kehidupan peribadi saya sendiri,” kata Arrizabalaga. Saya gembira apabila Chelsea memutuskan untuk mempercayai dan mengambil saya.”

Pemain Sepanyol itu muncul selaku penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak, menggantikan Alisson dari Brazil yang melengkapkan pemindahan 75 juta euro (RM354.95 juta) dari AS Roma ke Liverpool, bulan lalu.

Dalam pada itu Kovacic, 24, dilihat harus bersaing merebut tempat di bahagian tengah Chelsea yang kini di bawah pengendali baharu, Maurizio Sarri.

Turut berada di posisi berkenaan adalah pemain Perancis, N’Golo Kante, Jorginho (Itali) dan Cesc Fabregas (Sepanyol).

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 8:17am
d