arena

Mourinho tagih sokongan

Oleh AFP

MANCHESTER United perlu mengatasi kebimbangan pengurusnya, Jose Mourinho apabila membuka tirai Liga Perdana Inggeris menentang Leicester Ciry, awal pagi Sabtu ini.

Mourinho yang risau United akan mengharungi musim kejam dan malap, berulang kali merayu agar diberi sokongan ketika jendela perpindahan jika mahu kelab bimbingannya merapatkan jurang 19 mata yang ditinggalkan juara musim lalu, Manchester City sekali pun menamatkan kempen di tangga kedua.

Sebaliknya, pengendali dari Portugal itu bertambah derita apabila melihat satu lagi pencabar utama, Liverpool melakukan pembelian lebih mengagumkan dengan berbelanja 170 juta pound (RM892.26 juta) bagi mendapatkan pemain baharu.

“Jika kami tidak menjadikan pasukan kami lebih baik, ia akan menjadi musim yang sukar buat kami,” kata Mourinho.

Selepas melengkapkan pembelian pemain tengah Brazil, Fred dan pertahanan remaja Portugal, Diogo Dalot di awal sesi perpindahan, keutamaan Mourinho adalah untuk menguatkan pertahanan tengahnya.

United mungkin memperoleh salah seorang sasaran utama Mourinho musim ini iaitu Harry Maguire.

Namun, Leicester dilaporkan mahu perjanjian membabitkan pertahanan England itu dimuktamadkan dengan memecah rekod dunia sekali pun dia belum menjalani latihan susulan rehat Piala Dunia.

Berita baik buat United, beberapa bintangnya yang beraksi di Russia antaranya Romelu Lukaku, Marcus Rashford, Phil Jones dan Victor Lindelof memendekkan percutian mereka dan berpeluang untuk disenaraikan bertemu Leicester.

Tetapi bintang tengah Perancis, Paul Pogba tidak mengikuti jejak rakan sepasukannya berikutan hubungan dinginnya dengan Mourinho yang mencetus spekulasi perpindahan ke Barcelona.

Mourinho turut gembira apabila bintang tengahnya, Alexis Sanchez mula menampilkan prestasi yang diharapkan, tetapi pengurus itu pasti ingin mengelak kempennya musim ini berakhir dengan kekecewaan seperti yang berlaku di Chelsea dan Real Madrid.

Mourinho dipecat Chelsea pada Disember 2015 apabila penyandang juara ketika itu menghuni tangga ke-16 liga manakala di Real, beliau bertelagah dengan beberapa pemain seniornya untuk menamatkan kempen tanpa trofi sebelum disingkirkan.

Situasi yang sama tidak mustahil akan berulang terhadap Mourinho sekiranya United meraih permulaan yang buruk, dengan pengurus bersuara lantang itu turut percaya jadual perlawanan skuad kendaliannya menjadikan tugasnya lebih sukar.

“Saya mahu mengucapkan kata-kata yang baik, tetapi kami tidak bertuah untuk beraksi pada Jumaat (awal pagi Sabtu),” kata Mourinho. “Isnin, Selasa, Rabu, Khamis (untuk bersedia) adalah tidak mencukupi.”

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 8:40am
d