arena

Salah atau Ronaldo?

Oleh Reuters

NYON: Bintang Liverpool Mohamed Salah menyertai Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam senarai pendek UEFA untuk penyerang terbaik yang beraksi di Liga Juara-Juara musim lalu, umum badan induk bola sepak Eropah itu.

Ronaldo, yang memenangi anugerah itu tahun lalu, mendahului senarai penjaring dengan 15 gol dalam kejohanan itu ketika membantu Real Madrid menjulang trofi Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Pemain Mesir, Salah membawa Liverpool ke final dengan 10 gol dan empat umpanan, manakala tonggak Barcelona, Messi meledak enam gol.

Pertahanan terbaik pastinya dimenangi Real dengan trio mereka Marcelo, Sergio Ramos dan Raphael Varane mengisi senarai pendek untuk anugerah berkenaan.

Gandingan Real Toni Kroos dan Luka Modric akan bersaing dengan Kevin De Bruyne dari Manchester City untuk anugerah pemain tengah terbaik.

Persembahan pemain baharu Liverpool Alisson untuk AS Roma membolehkannya mengisi senarai pendek penjaga gol.

Dia akan bersaing dengan penjaga gol Real Madrid dari Costa Rica Keylor Navas dan legenda Itali Gianluigi Buffon yang melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain dari Juventus bulan lalu.

Pemenang-pemenang akan diumumkan ketika undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara 2018-19 di Monaco pada 30 Ogos ini.

Calon-calon dipilih oleh juri yang terdiri daripada jurulatih-jurulatih 32 kelab yang menyertai Liga Juara-Juara musim lalu dan 55 wartawan yang dipilih oleh kumpulan European Sports Media.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 12:16am
d