arena

Mbappe ancaman baru Neymar

Oleh Reuters

NEYMAR meninggalkan Barcelona untuk ke Paris Saint-Germain (PSG) setahun lalu untuk keluar daripada bayang-bayang Lionel Messi dan mengesahkan status selaku seorang pemain terbaik dunia, namun dia mungkin harus berkongsi status itu bersama sensasi remaja, Kylian Mbappe musim ini. 

Juara Perancis itu bakal memulakan kempen mengekalkan gelaran Ligue 1 menentang Caen di parc des Princes, Ahad ini dan tumpuan pastinya terarah kepada Neymar selepas dia terlepas aksi final musim lalu kerana kecederaan kaki. 

Pemain termahal dunia itu juga dipalit spekulasi terhadap tahap konsisten dialaminya dan ia secara tidak langsung mengaitkannya untuk keluar daripada Perancis, di mana terdapat laporan yang menyatakan dia akan bersama Real Madrid.

Namun Neymar menegaskan, dia masih mempunyai misi yang masih belum selesai di PSG dengan berkata: “Ya, saya akan kekal di Paris. 

“Saya mempunyai kontrak bersama PSG. Spekulasi itu? Majoriti daripadanya adalah rekaan pemberita. Saya mempunyai kontrak dan semua orang tahu objektifnya, sebab kenapa saya ke PSG. 

“Saya mahu menang bersama kelab ini dan berharap musim ini akan lebih baik.”

Neymar mewakili negaranya di Piala Dunia tetapi gagal membantu pasukan kebangsaannya mencipta rekod gelaran keenam apabila tewas 1-2 di tangan Belgium di suku akhir temasya di Russia.

Dalam pada itu, Mbappe, diangkat sebagai pemain muda terbaik kejohanan selepas meledak empat gol - termasuk dua jaringan individu ketika menentang Argentina - bagi membantu Perancis menjulang trofi. 

Pemain berusia 19 tahun itu muncul selaku pemain remaja kedua dalam sejarah selepas Pele yang menjaringkan gol di final Piala Dunia yang menyaksikan Perancis menang 4-2 ke atas Croatia di Moscow. 

Yuran pemindahan 180 juta euro (RM846.83 juta) yang dibayar PSG kepada Monaco bagi mendapatkan Mbappe tidak begitu jauh daripada rekod termahal dunia 222 juta euro (RM1.04 bilion) ketika mereka mengikat Neymar. 

Muka baharu, Gianluigi Buffon percaya Mbappe mampu mengikut jejak Pele dengan menjadi pemain terhebat sepanjang zaman dan dia pernah bermain menentang bekas pasukannya Monaco ketika aksi separuh akhir Liga Juara-Juara 2017. 

“Ketika saya bercakap (selepas perlawanan) dengan (bek tengah Juve) Andrea Barzagli yang juga rakan baik saya, dia memberitahu saya ‘Gigi, dalam tempoh 20 tahun karier ini, saya jarang melihat seorang pemain berlari begitu pantas dengan bola, sukar untuk saya menyekat pergerakannya’,” kata pemain berusia 40 tahun, Buffon.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 9:52am
d