arena

JDT tukar jurulatih

Oleh Syafiq Aznan

 

TIDAK sampai 24 jam sebelum aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia bertemu Kedah malam ini, juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan apabila menukar ketua jurulatih dan penolong ketua jurulatihnya.

Jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDTII), Benjamin Mora sekali lagi ‘dinaikkan’ pangkat sebagai ketua jurulatih pasukan itu buat kali kedua dengan dia akan dibantu oleh Hamzani Omar yang turut bersamanya ketika mengendalikan JDTII dan bekas pemain pasukan itu, Luciano Figueroa dilantik selaku pengurus pasukan.

Perkembangan itu diumumkan Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, malam tadi.

“Ketiga-tiga mereka akan dihantar ke Atletico Madrid, Manchester City dan Wolverhampton Wanderers untuk menjalani kursus bagi menaikkan lagi taraf kejurulatihan.

“Ini adalah perancangan kelab dari awal musim tetapi kelab tidak mahu mengumumkannya kerana menunggu waktu yang tepat.

“Kami rasakan inilah masa yang paling tepat demi melakukan persiapan untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 dan cabaran tahun-tahun akan datang,” katanya.

Namun, tiada maklumat lanjut mengenai bekas jurulatih pasukan itu, Raul Longhi dan pembantunya, Rui Rodrigues dan Ismail Ibrahim sama ada mereka dipecat ataupun melepaskan jawatan.

Bagaimanapun, pihak media dimaklumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi emel mengenai pembatalan pendaftaran tiga pegawai terbabit untuk JDT yang digantikan dengan pendaftaran buat Mora serta Hamzani.

Sementara itu, kekosongan yang ditinggalkan Mora dan Hamzani menyaksikan jurulatih Johor Darul Ta’zim III (JDTII), Ervin Boban dinaikkan pangkat mengendalikan JDTII.

“Kapten JDT II, Shakir Shaari pula akan dihantar menjalani kursus kejurulatihan untuk menjadi pembantu Ervin Boban di JDT II.

“Marcos Antonio juga akan dihantar berkursus selepas beliau mengumumkan persaraan dari karier bola sepak. Ini adalah  sebahagian daripada projek jangka panjang kami,” katanya.

Sebagai rekod, Mora pernah dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Selatan itu pada Januari 2017 bagi menggantikan Mario Gomez yang membuat keputusan meninggalkan pasukan itu.

Namun, dia kembali selaku jurulatih JDTII selepas pasukan itu mendapatkan khidmat dari Portugal, Ulisses Morais pada Jun 2017.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 11:30am
d