arena

Wee Wern teruja kembali beraksi

Oleh Ferzalfie Fauzi

 

ferzalfie@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Low Wee Wern bagai 'mati hidup semula' apabila bebas dari sebarang kecederaan dan mampu beraksi sebaik mungkin di dalam gelanggang sekali gus berhasrat mengekalkan prestasi cemerlang di Sukan Asia Indonesia nanti.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, sebagai membuktikan kata-katanya, dia berjaya memenangi tiga kejuaraan secara berturut-turut iaitu di Terbuka Malaysia, Tasmania serta Australia.

“Ia satu pencapaian terbaik buat saya apabila meraih tiga kejuaraan berturut-turut. Saya kembali pada prestasi sebenar dan bebas dari sebarang kecederaan. Tiada lagi kesakitan di bahagian lutut, malah ia memberikan saya lebih keyakinan,” katanya ketika ditemui di pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Bagaimanapun, Wee Wern mengakui untuk kembali sehebat dulu yang menyaksikan dia menduduki kelompok lima terbaik dunia masih terlalu jauh namun menganggap apa yang berlaku sekarang adalah satu permulaan untuk ke arah itu.

“Mengenai Sukan Asia pula saya tidak mempunyai sebarang sasaran peribadi. Empat tahun lalu saya meraih satu emas dan satu perak. Bagaimanapun, untuk temasya yang sama kali ini saya tidak beraksi dalam acara individu dan berharap mampu membantu skuad wanita meraih emas acara berpasukan.

“Sukan Asia juga menjadi medan yang sesuai buat saya dan rakan-rakan untuk mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia Berpasukan Wanita di Dalian, China, bulan depan,” katanya yang akan menyambung kembali Jelajah PSA selepas ini.

Selain Wee Wern, turut beraksi dalam acara berpasukan Sukan Asia ialah S Sivasangari, Nicol David serta Aifa Azman dan mereka dalam usaha mempertahankan emas yang dimenangi empat tahun lalu.

Malaysia muncul negara terbaik di Sukan Asia Incheon apabila meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa, mengetepikan India di tempat kedua dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Satu lagi emas disumbangkan Nicol melalui acara perseorangan wanita selepas mengalahkan Wee Wern dalam perlawanan akhir, manakala skuad berpasukan lelaki pula meraih perak.

Bekas pemain skuasy lelaki negara, Ong Beng Hee pula meraih gangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 7:04pm
d