arena

MIFA kekal rentak kemenangan

Oleh Firdaus Hashim

PETALING JAYA: MIFA mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan 2-0 dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Selepas kejayaan mengejutkan gergasi bola sepak negara yang juga pasukan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) Ahad lalu, anak buah K Devan terus 'berselera' dan kali ini skuad kendalian Yusri Che Lah menjadi mangsa kedua mereka.

MIFA yang beraksi dalam saingan Liga Perdana, terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang dari Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-25.

Tersentak dengan gol tuan rumah itu, pelawat cuba bangkit dengan melakukan beberapa gerakan serangan melalui penyerang, Cristiano Santos dan Mohammad Imran Samso yang bertindak licik memecah benteng MIFA, namun percubaan mereka tetap gagal menewaskan penjaga gol Mohd Muhaimin Mohamad.

Pelawat terus tertekan pada babak kedua apabila MIFA berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi percubaan J Satrunan pada minit ke-74 sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 itu kekal hingga wisel penamat.

Hasil kejayaan tiga mata itu, MIFA kini di tangga pertama dengan enam mata penuh, manakala JDT pula di tempat kedua dengan tiga mata selepas membelasah Kedah 5-1 di Larkin.

Selepas ini MIFA dijadualkan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, sementara Kelantan akan menanti kunjungan JDT di Kota Bharu dengan kedua-dua aksi pada hujung minggu depan.

 

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 12:07am
d