arena

Pemain bergaduh boleh digantung serta merta - AFC

Oleh Aziman Rosdi

INSIDEN pergaduhan di penghujung perlawanan persahabatan antara skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, malam tadi kemungkinan memberi masalah besar kepada pengendali Datuk Ong Kim Swee menjelang kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang Rabu ini.

Ini berikutan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersedia mengambil tindakan tegas termasuk menggantung serta merta mana-mana pemain dan pegawai daripada kedua-dua pasukan andai didapati bersalah terbabit dalam insiden berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John yang mahu meneliti sepenuhnya insiden pergaduhan itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita masih menunggu laporan penuh insiden itu daripada FAM, kita tidak boleh membuat andaian siapa betul dan siapa salah. Siapa yang salah kita akan ambil tindakan tidak kira pemain Malaysia atau pemain UAE. 

"Jika kita mahu ambil tindakan, kita tak perlu tunggu sehingga Sukan Asia selesai, jika kita dapat membuat keputusan awal, hukuman itu akan dijatuhkan serta merta, tidak boleh tangguh. Kita lihat seperti insiden pemain Uruguay, Luis Suarez yang digantung perlawanan Piala Dunia (2014) serta merta, tidak perlu tunggu kejohanan itu berakhir.

"Bagaimanapun, jika ada hukuman dikenakan, kita tidak akan menggantung pasukan kerana ini bukan kesalahan berkaitan tipu umur atau mengatur perlawanan, tindakan ini hanya membabitkan pemain dan pegawai saja jika bersalah," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Malam yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan bertukar tragedi apabila pergaduhan antara pemain UAE dengan Malaysia di hujung permainan tercetus di dalam padang sebelum pegawai dan pemain simpanan turut serta mengeruhkan keadaan.

Pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri terpaksa menghentikan perlawanan lebih awal untuk memberikan kemenangan 2-0 kepada skuad muda negara hasil jaringan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid pada setiap babak.

Windsor berkata, apa yang lebih mengecewakan apabila ada pegawai yang dikatakan terbabit dalam pergaduhan itu.

"Kita faham, ini perlawanan akhir untuk kedua-dua pasukan sebelum ke Sukan Asia, jadi setiap pemain pasti bersungguh-sungguh untuk merebut tempat. Tapi apa yang mengecewakan apabila pergaduhan itu membabitkan pegawai dan pemain simpanan yang menjadikan keadaan lebih buruk.

"Ini kerana jika pemain bergaduh di dalam padang, ia di bawah bidang kuasa pengadil untuk ambil tindakan, beliau boleh terus hentikan permainan. Saya berharap semua pihak ambil iktibar daripada insiden ini daripada berulang," tegasnya.

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak UAE (EFA) hari ini membuat keputusan drastik dengan menggugurkan pemain Mohammaed Khalfan Al-Harazi daripada skuad ke Sukan Asia susulan insiden pergaduhan itu.

Kim Swee pula akan menyenaraikan 20 pemain ke Sukan Asia sebelum berlepas ke Jakarta, esok bagi menghadapi kempen Kumpulan E menentang Kyrgyzstan pada Rabu ini sebelum bertemu juara bertahan Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos).

Berita berkaitan:

Kami silap kerana melawan - Muhamad Syazwan

'Tak perlu gaduh kalau kalah'

Dah kalah nak bertumbuk pulak... [METROTV]

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 6:55pm
d