arena

Red Giants 'tersungkur' lagi

Oleh Aziman Rosdi

SELANGOR terus derita di laman sendiri apabila tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia, kali ini 2-0 kepada Pahang.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir selepas kecundang 3-0 kepada PKNP FC dalam saingan Kumpulan D di Stadium Shah Alam minggu lalu.

Bagi Pahang pula, tiga mata yang diraih itu membolehkan mereka menerajui kumpulan selepas hanya seri 1-1 dengan Sabah pada aksi pembukaan.

Dalam aksi di Shah Alam, ancaman awal Pahang dimulakan menerusi gerakan pemain sayap kanan Mohamadou Sumareh yang membuat umpanan kepada penyerang Iwuji Amutu namun sentuhan terakhirnya tidak menepati sasaran pada minit ke-21.

Namun penantian skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh terlerai di minit ke-30 apabila pemain pertahanan Muslim Ahmad menanduk masuk bola sepakan percuma Nor Azam Azih.

Selangor yang dilihat pincang tanpa kehadiran tiga pemain Syahmi Safari, Evan Dimas dan Ilham Udin Armayn yang terbabit dengan temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang cuba melancarkan serangan namun sepakan Joseph Kalang Tie mudah diselamatkan penjaga gol Helmi Eliza Alias di minit ke-41.

Skuad Red Giants terus tertekan apabila Pahang menggandakan jaringan di minit ke-54 menerusi bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha susulan situasi kelam kabut dalam kotak penalti.

Jaringan itu seakan membunuh semangat Selangor yang gagal bangkit mendapatkan gol.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 11:18pm
d