arena

Rombak Program Podium selepas Sukan Asia

Oleh Jumiati Rosly

SERI KEMBANGAN: Program Podium bakal menjalani rombakan selepas berakhir Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi gambaran sedemikian dengan menjelaskan perbelanjaan program itu didapati sangat tinggi.

“Sekarang ini perbelanjaan (Program Podium) terlalu tinggi dan kita perlu mencari jalan untuk itu (mengurangkan perbelanjaan).

“Kita sedang mengadakan perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Program Podium untuk mencari titik pertemuan (jalan penyelesaian) kerana program ini yang sasarannya untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi adalah teramat penting,” katanya selepas menyertai kejohanan berbasikal MEX Ride 2018 di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata secara amnya Program Podium yang diperkenalkan pada tahun 2016 itu adalah bagus namun pengurangan perbelanjaan terpaksa dilakukan dan usaha mencari penajaan bagi menampung program itu terpaksa dilakukan.

Ketika ditanya sama ada penggunaan kepakaran pegawai asing yang menguruskan Program Podium akan dikaji semula, Syed Saddiq berkata: “Itu lah dia. Insya Allah.”

“Kami akan mengadakan pembentangan penuh perbincangan selepas Sukan Asia nanti, lepas itu barulah akan maklumkan.”

Jumaat lalu, tujuh pingat emas diletakkan buat kontinjen negara pada penyertaan Sukan Asia yang berlangsung minggu hadapan namun ada beberapa pihak tidak bersetuju dengan sasaran diletakkan yang dianggap kecil dan tidak setimpal dengan perbelanjaan besar dilaburkan menerusi Program Podium.

Ketika ini, Program Podium diletakkan di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dengan Tim Newenham dari Australia memegang jawatan Pengarah Program Podium.

Antara matlamat utama kewujudan Program Podium adalah untuk meletakkan negara dalam kelompok 10 negara terbaik di Sukan Asia 2018.

“Tujuh (emas) itu adalah minima dan kita letak tujuh hingga 11 emas. Pada masa yang sama sasaran yang dibuat adalah daripada ketua kontinjen negara (CDM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama mereka daripada Podium. Saya tahu banyak lagi perlu dibaiki,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 12:34pm
d