arena

De Paulo kembali 'ganas' benam FELCRA

Oleh Aziman Rosdi

PENYERANG import dari Brazil Guilherme De Paula menjadi inspirasi kebangkitan Kuala Lumpur dengan meledak empat gol untuk menewaskan FELCRA FC 4-1 dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia sebentar tadi.

Kemenangan di Stadium Bolasepak Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu memastikan tiga mata buat skuad The City Boys bagi memintas kedudukan kedua kumpulan di belakang Terengganu yang unggul dengan rekod bersih enam mata selepas dua perlawanan.

Kekalahan memalukan 5-1 di tangan Terengganu dalam aksi pembukaan minggu lalu memberi impak besar kepada Kuala Lumpur apabila jurulatih Fabio Maciel direhatkan oleh pihak pengurusan dan melantik penolong jurulatih Yee Fatt Chong selaku pengendali sementara.

Kuala Lumpur tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang import dari Brazil Guilherme De Paula tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit keenam.

Kedudukan itu tidak menggambarkan penguasaan sepenuhnya pasukan pelawat kerana FELCRA turut mengasak selepas ketinggalan 1-0 namun bahagian serangan yang diterajui penjaring terbanyak Liga Perdana, Casagrande gagal memberi penyudah berkesan.

De Paula kemudian menjarakkan kedudukan 2-0 buat The City Boys apabila bijak melambungkan bola mengatasi penjaga gol Fadzley Abdul Rahim di minit ke-73.

Penyerang Brazil itu terus mengganas apabila menambah dua lagi gol pada minit ke-85 dan 90 manakala pasukan tuan rumah mendapat gol sagu hati menerusi jaringan Nazrul Kamaruzzaman di minit ke-84.

 

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 11:37pm
d