arena

'Tutup buku Brazil, buka buku PSG'

Oleh AFP

PARIS: Neymar menyumbat gol sulungnya buat Paris Saint-Germain (PSG) sejak Februari membolehkan juara bertahan itu membuka kempen Ligue 1 dengan mengatasi Caen 3-0, awal pagi tadi.

Bintang Brazil itu yang mencetak 19 gol dalam 20 penampilan sebelum mengalami keretakan kaki pada musim lalu, hanya memerlukan 10 minit untuk meledak jaringan dalam aksi pertamanya selepas berehat selama enam bulan.

Adrien Rabiot menambah jaringan kedua untuk PSG sebelum separuh masa dan Timothy Weah anak kepada legenda Liberia, George Weah melengkapkan kemenangan itu dengan jaringan liga pertamanya.

Gianluigi Buffon turut memperagakan persembahan kemas dalam penampilan sulungnya ketika pengendali baharu PSG, Thomas Tuchel membuat permulaan sempurna di Parc des Princes.

“Kami beraksi baik dengan kesungguhan yang jitu, terutamanya di babak pertama. Pada babak kedua kami seakan hilang arah kerana kami belum benar-benar mencapai tahap 100 peratus,” kata kapten PSG, Thiago Silva kepada Canal+.

“Terdapat beberapa pemain tiba lewat (untuk pramusim) dan belum bersedia, seperti saya sebagai contohnya. Pada hujung permainan saya mengalami masalah kekejangan otot.”

Tuchel yang menggantikan Unai Emery dengan kontrak selama dua tahun, turun tanpa beberapa tonggak utama tatkala trio PSG yang memenangi Piala Dunia – Kylian Mbappe, Presnel Kimpembe dan Alphonse Areola  membawa trofi untuk diperagakan kepada peminat.

Edinson Cavani dan Marco Verratti turut tidak disenaraikan untuk Tuchel membawa masuk pertahanan muda Colin Dagba dan Stanley N’Soko dan seorang lagi perancang tengah berusia 19 tahun, Antoine Bernede.

Terdahulu, Bertrand Traore dan Memphis Depay menjaringkan gol untuk membantu Lyon mencatat kemenangan 2-0 ke atas Amiens.

 

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 7:59am
d