arena

'OK tapi bukan sempurna'

Oleh Agensi

LIVERPOOL: Jurgen Klopp menyifatkan kemenangan 4-0 Liverpool ke atas West Ham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai ‘permulaan baik’ namun ‘bukan sempurna’.

Kemenangan itu melonjakkan Liverpool ke persada liga tatkala Mohamed Salah, Sadio Mane (dua) dan penyerang gantian Daniel Sturridge semua meledak gol dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya The Reds.

“Sudah pasti ia satu permulaan baik,” kata Klopp selepas perlawanan. “Ia juga permulaan sempurna kerana kami turut memenangi perlawanan.

“Untuk kami ia belum cukup sempurna, tetapi cukup penting untuk memulakannya sebegini. Tidak semua orang tahu sama ada anda melalui pramusim dengan baik ataupun tidak.

“Selalunya cabaran yang dilalui dalam ujian pramusim adalah berbeza, tetapi kini dalam EPL ia adalah pertarungan sebenar dan sebagai pengurus sudah pasti anda mahu pasukan anda bersedia untuknya, kerana sebelum ini anda tidak dapat menguji pasukan penuh.”

Alisson, Xherdan Shaqiri dan Naby Keita semuanya membuat penampilan kompetitif bersama Liverpool selepas ketibaan mereka pada musim panas lalu, sementara Fabinho hanya diletakkan di bangku simpanan akibat masalah kecederaan ringan yang dihadapinya sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, Keita mencuri tumpuan dalam aksi sulung itu, dengan bekas pemain RB Leipzig itu memainkan peranan berkesan dalam mengumpankan gol pembukaan Salah pada minit ke-19.

“Sudah tentu ia adalah persembahan cukup baik,” kata Klopp mengenai perancang tengah berusia 23 tahun itu yang seterusnya diarahkan beraksi di posisi penyerang kiri di hujung aksi.

“Selepas enam minggu saya tidak pernah membandingkan pemain baharu dan pemain lain kerana untuk saya, sangat penting juga untuk Millie (James Milner) dan Gini (Wijnaldum) untuk terus meningkatkan permainan mereka.

“Jadi Naby dibawa masuk kerana dia pemain yang bagus dan seperti saya beritahu sebelum ini dia dapat menyesuaikan diri dengan segera dan mempunyai gaya permainan sama dengan posisinya seperti ketika di Leipzig.

“Dia boleh beraksi di posisi berbeza, tetapi saya fikir peranan nombor 8 paling berkesan buatnya ketika ini. Dia mendapat sokongan secukupnya daripada pemain lain, Sadio bekerja keras dan sama juga Gini, Millie dan Robbo dalam kes ini.” - Agensi

 

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 12:13pm
d