arena

FAS sambut baik langkah MFL

Oleh Syafiq Aznan

 

PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) menyambut baik langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bersedia menguatkuasakan cadangan peruntukan maksimum lapan peratus tiket per stadium kepada penyokong pelawat.

Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan cadangan itu sebagai satu langkah yang wajar memandangkan sokongan penyokong yang selama ini begitu sinonim dengan gelaran ‘Pemain ke-12’ adalah begitu penting bukan sahaja buat pasukan tuan rumah malah kepada pasukan pelawat yang turut beraksi.

“Sudah tentu cadangan ini akan menambahkan lagi kemeriahan di stadium dan memberi peluang kepada penyokong untuk sama-sama terbabit dalam setiap perlawanan khususnya yang berlangsung di tempat lawan.

“Apapun, faktor keselamatan seharusnya menjadi keutamaan dan pasukan tuan rumah perlu merancang langkah keselamatan yang baik supaya dapat mengelak daripada terjadinya kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, badan pengendali liga itu sedang mendapatkan mekanisme terbaik bagi memastikan peruntukan maksimum lapan peratus tiket per stadium kepada penyokong pelawat dapat dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam mengesahkan cadangan terbabit sudahpun dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah dengan keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Kevin menjelaskan pelbagai faktor perlu diambil kira bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan tanpa masalah dengan kajian mendalam akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ia boleh digunapakai.

Ketika ini, peruntukan tiket buat penyokong lawan lebih ditentukan menerusi ‘budi bicara’ pengurusan penyokong tuan rumah dan ada kalanya bergantung kepada ‘skala’ perlawanan yang akan dihadapi pasukan masing-masing.

Mekanisme peruntukan tiket buat penyokong pasukan lawan yang digunapakai ketika ini kadang kala menimbulkan masalah apabila penyokong pasukan lawan sekadar mendapat peruntukan yang disifatkan agak tidak adil.

Antara isu pembahagian tiket kepada penyokong lawan yang pernah menimbulkan kekecohan adalah apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya diberikan 100 tiket oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2014.

 

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 4:24pm
d