arena

Mun Yee masih berbisa

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Leong Mun Yee boleh diibaratkan sebagai ‘otai masih berbisa’ apabila mengakui tidak berdepan sebarang masalah untuk menggantikan peranan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Menurut atlet berusia 33 tahun itu, pengalaman pernah bergandingan bersama Pandelela Rinong sebelum ini termasuk ketika meraih gangsa di Kejohanan Dunia 2009 akan digunakan di Jakarta.

“Sekarang kami tengah giat menjalani persiapan fasa terakhir di China. Bagi saya semuanya berjalan lancar walaupun menggantikan Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama pada saat akhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujarnya, untuk Sukan Asia kali ini dia bukan saja perlu fokus kepada acara 10m platform seirama namun perlu mempersiapkan diri untuk acara 1m papan anjal individu.

“Fokus saya hanya untuk kedua-dua acara berkenaan. Saya rasa tidak ada masalah untuk bergandingan semula dengan Pandelela dan sasaran saya adalah untuk mendapatkan pingat tidak kira apa warna sekali pun,” kata atlet kelahiran Ipoh itu.

Mun Yee yang lahir hasil dari produk Jaya 98 (Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998) bakal beraksi di Sukan Asia buat kali kelima berturut-turut.

Sejak kali pertama beraksi pada 2002 (Busan, Korea Selatan) dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong secara keseluruhan sudah meraih dua perak dan empat gangsa.

Di Busan dia meraih satu gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama ketika bergandingan bersama Farah Begum Abdullah dan emat tahun kemudian di Doha dia membawa pulang dua gangsa dalam acara 3m papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama bersama Elizabeth Jimie.

Pencapaian terbaiknya di Sukan Asia Guangzhou apabila meraih dua perak melalui 3m papan anjal seirama berpasangan dengan Ng Yan Yee dan 10m platform seirama hasil gandingan bersama Pandelela.

Pada edisi terakhir di Incheon empat tahun lalu dia meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama ketika bergandingan bersama Pandelela.

“Kali ini saya bersama Pandelela lagi dan walaupun dia baru tiba semalam (dari Malaysia) ia bukan masalah buat kami untuk membina persefahaman. Apa yang penting ialah saya mampu untuk mempertingkatkan tahap terjunan saya secara individu,” kata Mun Yee.

Acara terjun akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 1 September dengan menawarkan 10 emas dan diadakan di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 7:03pm
d