arena

Haidhir doa TFC II dari jauh

Oleh Faizul Azlan Razak

TONGGAK Terengganu FC II (TFCII), Mohammad Haidhir Suhaini terkilan gagal membantu pasukannya pada perlawanan kedua bertemu Sarawak dalam kempen Piala Cabaran di Stadium Negeri, malam esok.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu yang muncul wira pasukannya menundukkan Negeri Sembilan 1-0 tempoh hari terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan buku lali.

Bekas pemain skuad Piala Presiden Terengganu itu berkata, semangatnya begitu berkobar untuk bermain namun dia terpaksa akur apabila disisihkan untuk perlawanan dengan Sarawak.

"Saya mengalami kecederaan ketika menentang Negeri Sembilan di Paroi dan terpaksa dikeluarkan selepas beberapa minit menjaringkan gol buat pasukan.

"Kecederaan yang saya alami tidak sempat pulih untuk bermain malam esok dan apa yang mampu dilakukan ialah mendoakan kejayaan pasukan dari jauh," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Mohammad Haidhir berkata, dia berharap kekalahan besar 2-5 di tangan skuad Bujang Senang dalam saingan Liga Perdana tidak berulang dalam aksi malam esok.

Katanya, dia yakin rakan sepasukannya sudah belajar dari kesilapan lalu dan turun dengan semangat juang tinggi untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

"Kalau boleh saya mahu melihat pasukan meraih kemenangan ke atas Sarawak malam esok, sekali gus membalas dendam kekalahan besar yang dialami dalam saingan Liga Perdana.

"Namun, jika satu mata berjaya dikutip ia sudah memadai buat pasukan dan percaya jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan sudah membuat percaturan untuk perlawanan malam esok," katanya.

 

 

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 7:08pm
d