arena

Liverpool umpama Rocky Balboa

LONDON: Liverpool mengotakan janji untuk menjadi ancaman utama kepada penyandang juara, Manchester City yang bertekad mengekalkan trofi Liga Perdana Inggeris tatkala kedua-dua pasukan tumpuan itu ‘mengganas’ pada perlawanan pembuka tirai, minggu lalu.

Sering ‘tewas’ kepada City yang dijana jutawan Abu Dhabi atau gergasi komersial, Manchester United sejak beberapa tahun kebelakangan ini dari sudut pembelian pemain, Liverpool berbelanja besar dilaporkan 170 juta pound (RM889.62 juta) ketika jendela perpindahan musim panas ini.

Pulangan pertama daripada pelaburan bertaraf mega itu hadir ketika mereka menewaskan West Ham 4-0, semalam tetapi pengurusnya, Jurgen Klopp tetap berseloroh “ia bukan United atau City”.

City pula menunjukkan kepada Liverpool apa yang mereka perlu lakukan untuk mengatasi defisit 25 mata pada musim lalu apabila menewaskan satu lagi pencabar kejuaraan, Arsenal 2-0 di gelanggang lawan sekali pun persiapan mereka diganggu rehat Piala Dunia.

Sebagai perbezaan, Liverpool dapat memanfaatkan penyingkiran awal bintangnya, Mohamed Salah dan Sadio Mane di Piala Dunia untuk kedua-duanya sempat menyertai sesi latihan pra musim pasukan lebih awal di Amerika Syarikat.

Bintang Mesir, Salah membuktikan ketajamannya ketika meledak 44 gol musim lalu masih belum pudar apabila membuka tirai jaringan di Anfield sebelum pemain Senegal, Mane menyumbat dua gol diikuti gol lewat daripada Daniel Sturridge.

Pengendali dari Jerman itu jelas tidak ketandusan bakat apabila dua pemain baharu Fabinho dan Xherdan Shaqiri serta bintang England, Jordan Henderson dan Adam Lallana diletakkan di bangku simpanan.

Di sebalik permulaan positif serta pelaburan, Klopp menegaskan Liverpool masih dilabel pencabar kepada City.

“Kami masih Rocky Balboa, bukan Ivan Drago,” kata pengendali Jerman itu sambil menolak dakwaan beliau akan berdepan masalah untuk mengekalkan keseimbangan pasukannya.

Guardiola dalam pada itu gembira dengan persembahan keseluruhan pasukannya ketika menewaskan Gunners tetapi mengakui mereka boleh menjadi lebih baik.

“Perlawanan pertama musim ini, di gelanggang lawan menentang Arsenal yang memperoleh jurulatih baharu selepas 20 tahun? Tiada siapa menafikan ia agak rumit, jadi untuk menang dengan cara kami menang lebih daripada menggembirakan.”

Turut meraih kemenangan meyakinkan ialah Chelsea di bawah kendalian jurulatih baharu, Maurizio Sarri yang menewaskan Huddersfield 3-0 di gelanggang lawan.

Sarri yang menggantikan Antonio Conte kurang sebulan lalu mengakui beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk pemain dapat memahami kehendaknya bagi memperoleh keputusan yang terbaik.

“Situasi sehingga kini adalah amat sukar. Pada Isnin (minggu lalu) empat pemain kami dari Piala Dunia tiba dan kemudian Selasa, dua lagi kembali. Jadi ia tidak mudah,” kata pengurus Itali itu.

Pengurus Arsenal, Unai Emery juga tampak senada dengan Sarri apabila mengakui skuad kendaliannya memerlukan masa untuk mengadaptasi pelan taktikal yang dibawanya.

“Kami meningkat sepanjang 90 minit perlawanan seperti yang saya fikir kami perlukan untuk minggu depan dan minggu berikutnya,” kata Emery.

Beraksi lebih awal, pengurus Manchester United Jose Mourinho tanpa berselindung mengkritik polisi pembelian pemain kelab itu sekalipun skuad kendaliannya memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menang 2-1 ke atas Leicester City.

Sambil memuji prestasi bintang tengahnya, Paul Pogba yang diberikan lilitan kapten pada aksi berkenaan, pengurus dari Portugal itu jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap kelab. 

“Ia akan menjadi musim yang sukar buat semua orang, bukan saja kami. Saya mempunyai perancangan sejak beberapa bulan lalu dan selepas jendela perpindahan ditutup, saya mendapati saya berada dalam situasi yang saya tidak mahukan.

“Ia adalah pengurusan bola sepak. Saya fikir bola sepak sudah berubah dan pengurus sepatutnya dipanggil ketua jurulatih. Saya fikir kami lebih kepada ketua jurulatih berbanding pengurus,” katanya.

Sementara itu, satu lagi pencabar kejuaraan, Tottenham turut meraih kemenangan sekali pun mengharungi jendela perpindahan yang suram dengan menewaskan Newcastle United 2-1 di gelanggang lawan, St James Park. 

 

 

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 11:21pm
d