arena

Silva pula tinggalkan La Roja

Oleh AFP

MADRID: Pemain tengah Sepanyol David Silva menyertai jejak langkah rakan sepasukan Andres Iniesta dan Gerard Pique bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Penyerang Manchester City berusia 32 tahun itu menjuarai Piala Dunia 2010, Kejohanan Eropah 2008 dan 2012 adalah tonggak pasukan ketika era kegemilangan Sepanyol.

Silva menjaringkan 35 gol daripada 125 perlawanan antarabangsa sejak 12 tahun lalu dan bekas jurulatih Sepanyol Vicente del Bosque pernah menggelarkannya Lionel Messi Sepanyol.

Dia juga sebahagian anggota pasukan Sepanyol yang tersingkir mengejut dalam pusingan 16 terakhir di Piala Dunia lalu.

"Satu keputusan yang tidak mudah selepas melalui semuanya. Ia mengambil masa agak lama dan selepas beberapa pertimbangan saya tekad menamatkan tugasan bersama skuad Sepanyol,” kata Silva dalam Twitternya.

"Tanpa ragu ia salah satu keputusan paling sukar dalam karier saya. Skuad kebangsaan memberikan saya segalanya, sejak menyertainya di peringkat remaja sehingga berkembang menjadi pemain bola sepak yang dikenali ramai.”

Silva dibawa masuk menyertai skuad senior oleh Luis Aragones dan menyinar ketika membantu Sepanyol menjuarai Euro 2008, trofi kejohanan utama mereka sejak 1964.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 8:27am
d