arena

'De Gea mesti 'sign' punya'

Oleh Agensi

LONDON: Manchester United yakin David de Gea akan menandatangani kontrak baru jangka panjang bagi membolehkan dia terus kekal di Old Trafford.

Kontrak sedia ada pemain berusia 27 tahun itu akan berakhir pada 2019 tetapi United mempunyai pilihan melanjutkannya semusim lagi.

The Red Devils sedia berunding dengan wakil penjaga gol itu dan usaha itu tampak cerah selepas Thibaut Courtois berpindah ke Real Madrid dari Chelsea dengan harga £35 juta (RM182 juta).

De Ge telah beberapa kali dikaitkan dengan Real sejak 2015.

Kelab Bernabeu itu hampir mendapat tandatangan De Gea tetapi kerosakan mesin faks mengakibatkan kertas kerja yang diperlukan tidak dapat dihantar pada saat akhir.

Pada Mei lalu, De Gea yang menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011 dengan harga £18.9 juta (RM98 juta) dinamakan sebagai Pemain Tahunan Kelab buat kali keempat.

Dia juga tersenarai dalam pasukan Persatuan Pemain Profesional Tahunan selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama United.

Bagaimanapun, De Gea kurang menyerlah ketika beraksi bersama Sepanyol di Piala Dunia lalu dan dikritik hebat selepas kesilapannya membolehkan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ketika seri 3-3 dengan Portugal.

Dia kembali beraksi bersama United pada perlawanan pembuka tirai Liga Perdana 2018-19 menentang Leicester City dan menyelamatkan dua situasi genting untuk membolehkan United menang 2-1.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 11:31am
d