arena

Nidzam tunggu keputusan KFA

Oleh Izzali Ismail

KETUA Jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff bersedia menerima apa sahaja keputusan yang bakal diputuskan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkaitan prestasi dirinya bersama skuad Lang Merah yang dilihat kurang memberangsangkan dihujung musim Liga Super 2018 dan pada perlawanan Piala Malaysia musim ini.

Walaupun isu berkenaan belum diputuskan KFA,  namun beliau yakin pihak pengurusan mempunyai rumusan terbaik agar Kedah mampu bangkit dari kemerosotan prestasi sejak dibelenggu krisis kecederaan oleh beberapa pemain utama sehinggakan Kedah gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan sebelum ini.

"Demi kebaikan pasukan dan persediaan seterusnya, saya akan akur dengan apa jua keputusan yang akan diputuskan oleh kepimpinan pengurusan dalam masa terdekat termasuk perancangan yang akan dilakukan dalam aspek kejurulatihan."

"Saya tidak bercakap bagi kepentingan pihak saya semata-mata tapi itulah kenyataan apabila melihat keadaan pasukan yang memerlukan peningkatan atau suntikan perubahan yang diharapkan oleh semua penyokong setia."

"Segala usaha untuk meningkatkan prestrasi pasukan sudah dilakukan dan saya pasti pihak pengurusan mampu menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan efektif."

Dalam tujuh perlawanan terakhir yang ditempuhi, skuad Lang Merah sekadar mencatat tiga keputusan seri dan empat kekalahan.

Pada masa yang sama Nidzam juga menyerahkan isu penyerang sensasi Paulo Rangel kepada pihak pengurusan KFA bagi menentukan jalan terbaik sama ada untuk meneruskan aksi bersama pasukan ataupun sebaliknya.

"Saya serahkan seterusnya kepada pihak pengurusan KFA untuk menilai dan membuat keputusan yang selanjutnya berhubung status pemain berkenaan dalam masa terdekat."

"Kita tahu Rangel adalah pemain bolasepak berpengalaman di rantau ASEAN ini dan seharusnya dia menunjukkan sikap professional dalam pasukan yang memerlukan semangat juang secara berkumpulan. Namun sikap yang ditunjukkannya sungguh mengejutkan dan tindakan sebegitu tidak sepatutnya dipamerkan," katanya.

 

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 11:32am
d