arena

Danial akur terlepas Sukan Asia

Oleh Rodly Fadly

HANYA tinggal beberapa jam sebelum skuad bola sepak Bawah 23 negara berlepas ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, petang semalam, Danial Amier Norhisham terpaksa menelan kekecewaan apabila namanya digugurkan pada saat akhir oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Tempatnya digantikan pemain pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie yang sehari sebelum itu diketepikan daripada senarai akhir 20 pemain ke temasya sukan berkenaan.

Walaupun kecewa, namun Danial menerima hakikat serta mengakui bahawa keputusan diambil Kim Swee tepat memandangkan kecederaan pangkal paha kiri dialaminya belum pulih sebagaimana diharapkan.

“Selama hampir dua minggu bersama skuad negara, saya sudah diberi peluang oleh jurulatih untuk memulihkan kecederaan itu dengan hanya menjalani rawatan pemulihan.

“Malah, bagi memastikan kecederaan itu sempat pulih, saya tidak berlatih bersama pasukan, juga tidak diturunkan dalam perlawanan menentang China dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dengan harapan sempat pulih sebelum bertolak ke Jakarta.

“Saya hanya mula menjalani latihan bersama pasukan pada petang Ahad lalu dan segala-galanya nampak tiada masalah sehingga meyakinkan Datuk Ong untuk menyenaraikan saya.

“Tapi, semasa menjalani latihan pagi semalam, saya kembali berasa sakit dan memberitahu jurulatih. Selepas berbincang dengan pegawai perubatan, mereka mengambil keputusan untuk menggugurkan saya,” jelas pemain tengah berusia 21 tahun itu.

Danial mengalami kecederaan itu ketika mewakili  FELDA United menentang PDRM dalam aksi Liga Perdana, bulan lalu.

Menurut Danial, walaupun kecewa namun dia menerima pengguguran itu dengan reda serta berlapang dada kerana menganggap kepentingan negara lebih utama.

“Saya hendak sangat beraksi di Sukan Asia kerana ia peluang pertama dan terakhir memandangkan acara bola sepak dihadkan kepada pemain bawah 23 tahun sahaja.

“Tapi, tidak guna saya bersama pasukan dalam keadaan belum pulih daripada kecederaan kerana sudah tentu tidak mampu memberikan persembahan terbaik. Pada masa sama, ia juga tidak adil kepada pemain lain,” kata Danial.

 

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 12:46pm
d