arena

YAKEB harap pertemuan positif

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Azlan Iskandar mengharapkan sesuatu yang positif apabila bertemu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk dana yang semakin berkurangan.

Menurutnya, setakat ini, usaha terus dijalankan bagi menyelesaikan isu dana dan mereka mendapat maklum balas KBS termasuk melalui Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kita harap sesuatu yang positif dari KBS dan dalam masa sama lembaga pengarah bersama staf YAKEB sentiasa berusaha untuk mencari dana. Perkara ini tidak boleh terhenti begitu saja walaupun lembaga pengarah dan staf memikul bebanan besar,” katanya ketika ditemui selepas melawat bekas pelumba berbasikal negara, Ishak Alwi.

Ujarnya, YAKEB mempunyai lebih 3,000 ahli dan mereka harus mencari jalan terbaik dan sedang mencari waktu sesuai untuk berjumpa dengan wakil KBS.

“Kita masih belum berjumpa dengan KBS dan sepatutnya akan bertemu dengan Timbalan Menteri, Steven Sim untuk menerangkan mengenai YAKEB dan banyak lagi perkara yang sedang berlaku sekarang.

“Cuma kita memahami situasi sekarang (tidak sesuai) dan ahli lembaga pengarah akan berikan yang terbaik,” katanya yang juga bekas pemain skuasy kebangsaan.

Ahad lalu, YAKEB mengaku mereka mungkin terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mulai Rabu ini susulan kehabisan dana.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, mereka terpaksa menghentikan pengeluaran Surat Jaminan (GL) kepada mana-mana bekas atlet yang ingin menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta.

Menurutnya, pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas dana RM3 juta yang disalurkan kerajaan kepada YAKEB sudah dibelanjakan untuk membantu lebih 2,400 bekas atlet kebangsaan yang memerlukan bantuan kewangan dan perubatan, sebelum ini.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 6:56pm
d