arena

Nasib Fabregas makin kabur

Oleh Agensi

LONDON: Pelantikan pengurus baru boleh menguntungkan sesetengah pemain namun ada kalanya merugikan sesetengah yang lain.

Ketibaan Maurizio Sarri memberi khabar gembira buat David Luiz dan Willian yang bakal mempunyai masa depan cerah bersama Chelsea selepas kedua-duanya hampir ditunjukkan jalan keluar kerana hubungan bermasalah dengan Antonio Conte.

Namun ketika kedua-dua pemain Brazil itu tampak serasi dengan falsafah bola sepak Sarri, masa depan Cesc Fabregas pula semakin kabur.

Ramai ingin tahu apa pandangan Fabregas berhubung pelantikan Sarri. Penekanan terhadap teknikal, bola sepak berasaskan penguasaan bola sudah pasti mengujakannya biarpun tumpuan tambahan terhadap usaha keras dan kesungguhan membimbangkannya.

Pemain Sepanyol yang mempunyai teknikal baik tetapi kekurangan kesungguhan seperti diingini pengurus baru mungkin meletakkan pemain itu dalam keadaan bahaya dalam tempoh beberapa bulan mendatang.

Semangat Fabregas ternyata tidak begitu dibantu aktiviti perpindahan pemain kelab itu yang tertumpu kepada usaha mengukuhkan bahagian tengah seperti dikehendaki Sarri.

Pembelian Jorginho dari Napoli dengan bayaran awal £50 juta (RM260.5 juta) bermakna harapan Fabregas untuk menggalas watak pengatur serangan di bahagian tengah semakin tipis.

Sementara Mateo Kovacic yang dipinjam dari Real Madrid turut menyebabkan peluang Fabregas semakin kabur. Kontrak sementara tanpa sebarang pilihan untuk pembelian membayangkan bahawa Sarri melihat pemain Croatia itu sebagai penyelesaian segera dalam skuad utama dan bukannya jangka panjang malah kreativiti dan keupayaan melakukan aksi bertahan dimiliki Kovacic bermakna dia serasi dengan sistem berkenaan.

Selain dua pemain baru itu, dua lagi pemain menjadi penghalang Fabregas menyertai kesebelasan utama. Ross Barkley jarang diturunkan sejak dibeli dengan harga  £15 juta (RM17.1 juta) pada Januari, antaranya disebabkan kecederaan dan gagal mendapatkan kepercayaan Conte.

Begitu juga dengan Ruben Loftus-Cheek yang kini semakin bertenaga selepas dipinjamkan ke Crystal Palace. Kini berusia 22 tahun dan kembali ke kelab selepas terbabit kempen Piala Dunia bersama England, Loftus-Cheek dikatakan mampu mencetus impak di kelab itu, malah dilaporkan menolak tawaran menyertai kelab Bundesliga, Schalke.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 1:24pm
d