arena

MU tanpa kelibat Elavarasan

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) sekali lagi kehilangan ketua jurulatih, E Elavarasan yang meninggalkan pasukan itu menjelang pertemuan Piala Malaysia berdepan PDRM Jumaat ini di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Selepas tidak bersama ketika skuad itu berdepan Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan kedua Liga Super kerana menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Indonesia, Elavarasan kini kembali ke negara itu untuk meneruskan kursus selama lebih dua minggu.

"Saya kembali ke Indonesia dan terlepas peluang bersama pasukan pada dua perlawanan MU di pentas Piala Malaysia. Dua perlawanan itu membabitkan aksi berdepan PDRM di Stadium Hang Jebat, Jumaat ini dan 26 Ogos depan.

"Kemungkinan saya juga terlepas untuk bersama MU pada aksi pasukan bertemu PKNS di gelanggang lawan pada 1 September depan. Apapun saya harap pada perlawanan berdepan The Red Ants saya sudah kembali ke Melaka," katanya.

Sehubungan itu, tugasannya akan diambil alih penolong jurulatih, Ridzuan Abu Shah yang sudah menggalas peranan itu ketika MU bertemu JDT.

Elavarasan berkata, beliau sudah menitipkan tips terbaik buat Ridzuan untuk menjalankan tugasan, selain nasihat, panduan dan teguran kepada pemain untuk beraksi pada tahap terbaik sepanjang ketiadaanya.

Namun, katanya, segalanya terpulang kepada pemain untuk menampilkan kesungguhan yang tinggi dan yakin pemain akan bertindak cemerlang untuk meraih mata berharga.

"Dua pertemuan berturut-turut berdepan The Cops di gelanggang sendiri adalah peluang terbaik untuk meraih mata bagi memastikan usaha layak ke suku akhir mampu menjadi kenyataan.

"Apa pun, saya mengharapkan pemain tidak terlalu yakin dengan kelebihan yang ada kerana dua perlawanan itu juga adalah venue buat pasukan The Cops pada saingan kumpulan B terbabit," katanya.

Apa yang pasti, Ridzuan berdepan tugasan mencabar dalam memastikan pasukannya mampu meraih mata penting sepanjang ketiadaan Elavarasan dan pada masa sama meneruskan corak dan taktikal bekas pengendali Terengganu, PKNS dan FELDA itu.

 

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 4:10pm
d