arena

Skuad bola baling akur

Oleh Fadhli Ishak

 

KUALA LUMPUR: Skuad bola baling lelaki negara, yang tampil buat julung kali di dalam pertandingan, tewas buat kali kedua berturut-turut di temasya Sukan Asia di Jakarta hari ini.

Harapan untuk melakukan kejutan di peringkat kumpulan berakhir selepas skuad negara dibelasah 55-11 oleh Iran di GOR POPKI Cibubur. Iran menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi lalu di Incheon empat tahun lalu.

Isnin lalu Malaysia tewas 64-11 di tangan juara bertahan Qatar dalam saingan Kumpulan A. Skuad berkenaan akan bermain untuk penentuan tempat kesembilan-13 pada 20 Ogos.

Pengurus pasukan Vijaya Kumar Arumugam berkata dia sudah menjangkakan cabaran sukar buat kedua-dua pasukan lelaki dan wanita di Jakarta.

"Kami menghantar pasukan bagi mendapat pendedahan dan melihat sejauh mana kedudukan pasukan di peringkat Asia. Persiapan untuk Sukan Asia terhad daripada segi bajet dan kebanyakan pemain masih bekerja dan belajar. Ini adalah kali pertama Malaysia bertanding dalam acara bola baling di Sukan Asia,” kata Vijaya.

"Untuk kategori lelaki, kami sedar yang kami akan berada dalam kumpulan paling sukar dengan Qatar dan Iran yang berada di ranking keempat dan 31 dunia.

"Kami kekurangan daripada segi fizikal, kemahiran dan taktikal. Pemain-pemain kami gemuruh dan melakukan kesilapan mudah ketika membuat hantaran dan bertahan. Mental mereka juga lemah selepas ketinggalan.”

Skuad wanita membuka saingan dengan kekalahan 23-15 di tangan tuan rumah Indonesia semalam. Mereka akan berdepan Jepun Ahad ini diikuti Thailand pada 21 Ogos dan Hong Kong 23 Ogos untuk perlawanan terakhir Kumpulan B.

 

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 11:02pm
d