arena

Tekad balas kepercayaan BAM

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tekad untuk membalas kepercayaan diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mengekalkan gandingan mereka dalam senarai pemain bagi menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Sebelum ini, pasangan nombor dua negara itu hampir digugurkan apabila BAM secara terbuka mengakui sedang turut mempertimbangkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk di bawa ke Jakarta.

Ia selepas Ee Yi-Yew Sin sekadar berjaya mara sehingga pusingan kedua Kejohanan Dunia di Nanjing, China berbanding Aaron-Wooi Yik yang melakar kejutan mara ke suku akhir pada penampilan pertama dalam kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun, Ee Yi ketika dihubungi, hari ini tidak terlalu memikirkan perkara berkenaan.

“Saya dan Yew Sin tidak terlalu bimbang jika digugurkan kerana apa yang paling penting adalah kepentingan negara diutamakan,” kata Ee Yi.

“Ketika itu, Aaron-Wooi Yik beraksi dengan baik dan kita patut berbangga dengan pencapaian mereka. Ia turut membuktikan Malaysia mempunyai pasangan beregu lelaki yang mantap.

“Jika BAM menyenaraikan mereka berbanding kami, kami tidak kecewa. Kami kurang bernasib baik apabila berdepan dengan senior kami (Goh V Shem-Tan Wee Kiong) di pusingan kedua Kejohanan Dunia. Ia sentiasa sukar apabila menentang rakan senegara.

“Namun, kini BAM tetap menyenaraikan kami dan kami akan membalas kepercayaan itu.”

Turut membawa cabaran negara dalam acara beregu lelaki pada Sukan Asia kali ini ialah V Shem-Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

Majlis undian saingan berpasukan akan diadakan di Jakarta esok dengan Malaysia diletakkan sebagai pilihan kelima.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 1:16am
d