arena

Messi rindu kucup trofi UCL

Oleh AFP

BARCELONA: Bintang Barcelona Lionel Messi berkata kelabnya akan melakukan apa sahaja pada musim ini untuk merampas trofi Liga Juara-Juara daripada musuh ketat mereka, Real Madrid yang menjuarainya tiga kali berturut-turut sebelum ini.

"Saya rasa tahun ini kami memiliki skuad yang mampu merealisasikan impian kami. Pemain baru mampu memperkuatkan pasukan berbanding sebelum ini,” kata Messi kepada penyokong di Camp Nou selepas tamat aksi persahabatan pramusim menewaskan Boca Juniors 3-0.

"Musim lalu kami menang trofi dan juarai liga tetapi kecewa di Liga Juara-Juara apatah lagi dengan cara kami tersingkir,” katanya merujuk kepada kekalahan perit Barcelona di tangan Roma pada peringkat suku akhir.

"Kami berjanji pada tahun ini kami akan melakukan apa sahaja untuk membawa kembali trofi paling berprestij di Eropah ini ke Camp Nou,” kata Messi lagi, pemenang trofi tersebut pada 2006, 2009, 2011 dan 2015.

Pemain berusia 31 tahun itu akan mengambil tugas kapten musim ini selepas pemain legenda mereka, Andres Iniesta bertukar haluan ke Jepun.

"Kami sudah pasti merindui Andres tahun ini. Sudah tentu teruja dan menjadi satu kebanggan menjadi kapten. Saya bertuah mempunyai contoh yang hebat seperti (Carles) Puyol, Xavi dan Andres (Iniesta)."

Messi menjaringkan gol kedua Barca ke atas gergasi Argentina itu dalam perlawanan merebut trofi Joan Gamper yang mengambil sempena nama pengasas kelab.

Pemain baru dibeli dari Bordeaux, Malcom menjaringkan gol pembukaan dan Rafinha menjaringkan gol ketiga untuk skuad kendalian Ernesto Valverde itu.

Barcelona yang menewaskan Sevilla 2-1 pada aksi final Piala Super Cup Sepanyol akan membuka tirai La Liga dengan menentang Alaves di tempat sendiri pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 8:42am
d