arena

Daren harapan negara

Oleh Daripada Azidan Nahar & Azlan Muhammad Zain

JAKARTA: Faktor Liew Daren boleh menjadi penentu sama ada Malaysia mampu melangkah ke suku akhir badminton Sukan Asia apabila bertemu Jepun pada aksi pertama, Ahad ini.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menyifatkan skuad negara sebagai ‘underdog’ ketika menentang Jepun dalam acara berpasukan tetapi tetap menaruh harapan untuk melakukan kejutan.

Sekiranya perseorangan pertama itu mampu meraih mata pertama, Misbun yakin skuad negara boleh melakukannya walaupun menyedari cabaran Jepun bukan sesuatu yang mudah.

“Seandainya perseorangan pertama boleh menyumbang mata, dua lagi pemain boleh cuba untuk turut memberikan mata.

“Saya melihat pemain kita tidak terlalu menghormati lawan mereka dan kita boleh mengagak kekuatan lawan, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan, hanya perlu turun ke gelanggang dan lawan sahaja.

“(Lee) Zii Jia adalah antara pemain yang kali pertama beraksi di sini, kalau diikutkan standard permainan lebih kurang dengan Kenta (Nishimoto) tapi dia lebih berpeluang untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Istora Senayan, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki Paulus Firman berkata, meskipun Jepun memiliki kekuatan melebihi skuad negara, peluang mereka melakar kemenangan tetap ada.

“Dalam aksi pertama mana-mana kejohanan, apa juga boleh terjadi tapi apa juga keadaannya kami percaya peluang tetap ada.

“Paling penting, pemain perlu fokus dengan permainan mereka dan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Pemain negara yang akan turun beraksi hanya diputuskan esok, selepas selesai sesi latihan terakhir.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 7:41pm
d