arena

Bola Shebby: Pertembungan sengit tujuh pasukan

Januari lalu, di Kejohanan B-23 AFC, senarai pasukan yang layak ke suku akhir adalah Qatar, Palestin, Iraq, Vietnam, Jepun, Uzbekistan, Korea Selatan dan Malaysia.

Bulan ini pula atau lebih tepat lagi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, tujuh daripada lapan pasukan yang layak ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC akan sekali lagi bertemu.

Kita sedia tahu Iraq sudah menarik diri tetapi tumpuan tetap terarah kepada pasukan yang beraksi di B-23 AFC dan semua pasukan itu mempunyai cabaran masing-masing.

Sebagai skuad yang menjuarai B-23 AFC, Uzbekistan sudah membuktikan kebolehan mereka dengan dua persembahan yang begitu matang. Mereka menepis cabaran dalam Kumpulan B dengan kemenangan sempurna ke atas pasukan Bangladesh. Mereka juga mengalahkan Qatar yang hadir di Indonesia tanpa pemain seperti Akram Afif serta Almoez Ali.

Jelas bahawa Uzbekistan sekali lagi menjadi pasukan pilihan untuk merebut pingat emas.

Pasukan Vietnam yang mengejutkan kita apabila menduduki tempat kedua kini tidak lagi mantap seperti Januari lalu. Persembahan mereka di Sukan Asia tidak lagi licin dan pemain Vietnam kelihatan langsung tidak berkembang.

Jepun pula masih tercari-cari rentak dan tahap selesa dan dijangka menjadi lebih matang dalam masa terdekat.

Hanya Korea Selatan yang menunjukkan tahap serta prestasi lebih baik berbanding Januari. Tambahan pula dengan misi individu seperti Son Heung-min yang ingin mengelak tersenarai ke program khidmat negara maka pasukan ini sudah mula mengorak langkah pertahankan pingat emas.

Yang menarik adalah corak permainan pantas yang mereka pamerkan sepanjang 90 minit. Cabaran yang boleh mengganggu kemaraan pasukan Korea Selatan pasti akan datang daripada pasukan seperti Iran dan Arab Saudi.

Bagi Malaysia pula, harapan adalah supaya dapat mengekalkan prestasi hingga ke peringkat suku akhir.

Sekiranya dapat mengulangi kedudukan ke suku akhir maka ia akan dilihat sebagai pencapaian. Tetapi jika dapat ke peringkat separuh akhir maka akan menjadi satu kejayaan.

Di sini, peminat harus memahami antara pencapaian atau ‘achievement’ dan kejayaan atau ‘success.’

Kita sudah dapat menyaksikan pasukan dari ASEAN dan jelas pasukan Thailand, Indonesia, Vietnam serta Myanmar tidak menunjuk tahap yang membimbangkan. Kita tidak akan berdepan masalah besar di tahun mendatang kerana setiap pasukan ASEAN mempunyai kelemahan tersendiri.

Di peringkat B-23, sudah dapat dilihat Thailand tidak melahirkan pemain istimewa seperti Chanatip Songkrasin atau Sarach Yooyen. Barisan pemain Thailand yang berada di Sukan Asia 2018 boleh dianggap sederhana.

Begitu juga dengan pemain Vietnam dan Myanmar yang menunjukkan teknik kemas tetapi lebih mencorakkan persembahan konservatif. Indonesia pula beraksi huru-hara di atas padang tanpa mempunyai strategi atau taktik yang kukuh.

Kemungkinan Piala AFF Suzuki 2018 ini terlalu awal untuk menyukat tahap Malaysia tetapi kita boleh menganggap kejohanan itu sebagai sasaran realistik.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 1:28am
d