arena

Ketiadaan De Bruyne 'alasan' terbaik City

Oleh AFP  

MANCHESTER: Pep Guardiola memulakan kempen tanpa Kevin de Bruyne menentang Huddersfield hujung minggu ini namun persiapan perlawanan itu lebih didominasi ulasan mengenai ‘aksi’ beliau di skrin.

Guardiola menjadi sasaran media minggu ini susulan terbitnya dokumentari bersiri di Amazon yang meliputi kempen penuh jaya Manchester City di Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Akses tanpa had yang diberikan kepada produser filem mencetuskan kritikan hangat biarpun sebelum ia dilancarkan secara rasmi untuk tontonan umum hari ini.

Biarpun Guardiola mendedahkan siri itu mungkin mendedahkan beberapa teknik pengurusannya namun beliau tidak terlalu memikirkannya.

“Kami diekori kamera sepanjang 24 jam jadi semua itu boleh berlaku. Orang boleh melihat bagaimana suasana pasukan di belakang tabir,” kata Guardiola.

“Mengenai rahsia, setiap perlawanan berbeza dengan yang lain dan pemain yang melakukan taktikal. De Bruyne mungkin ada cara permainannya dan jika dia tidak ada, anda perlu sesuaikan diri dengan pemain yang menggantikannya.

“Jadi kami perlu mengubah taktik. Taktik adalah soal pemain, bukan idea daripada pengurus.” 

De Bruyne tidak akan beraksi selama tiga bulan susulan kecederaan ligamen lutut ketika latihan semalam, biarpun tidak memerlukan sebarang pembedahan.

David Silva yang tidak banyak beraksi musim lalu berikutan anaknya yang lahir pramatang akan lebih banyak diturunkan sebagai nadi serangan Guardiola.

Pemain remaja berbakat, Phil Foden yang baru berusia 18 tahun namun sudah dipertimbangkan untuk menyertai skuad England oleh Gareth Southgate juga akan lebih kerap diturunkan sepanjang ketiadaan pemain Belgium itu.

Di atas padang, City memulakan kempen musim baru dengan cemerlang, menewaskan Chelsea dengan penuh bergaya dalam aksi Perisai Komuniti sebelum menang 2-0 dalam aksi pembuka tirai liga menentang Arsenal minggu lalu. 

Huddersfield akan mengunjungi Etihad selepas pasukan itu meraih satu mata menerusi keputusan seri tanpa jaringan di sana akhir musim lalu yang membantu David Wagner membawa pasukannya kekal dalam Liga Perdana.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 8:55am
d