arena

Waspada taktik kotor silat Indonesia

Oleh Haika Khazi

INDONESIA mungkin menggunakan pelbagai taktik kotor dan tipu muslihat untuk menghalang Malaysia menang pingat emas dalam acara silat olahraga dan silat seni di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 nanti.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mendakwa antara taktik kotor bakal digunakan adalah memanipulasi sistem undian elektronik bagi memastikan pesilat negara lain terutama Malaysia bertemu lawan sukar ditewaskan seperti bekas juara dunia sejak di pusingan awal. 

Peserta tuan rumah pula diundi untuk bertemu lawan yang tidak kuat dan mudah dikalahkan bagi memastikan mereka layak ke final dan menang emas. 

Berikutan itu Malaysia akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) pada Mesyuarat Pengurus Pasukan tidak lama lagi bagi memastikan proses undian dilakukan secara manual seperti kebiasaannya. 

"Saya tahu mereka mahu membalas dendam terhadap Malaysia yang menang 10 daripada 20 pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu. 

"Justeru, saya percaya Indonesia akan lakukan apa saja termasuk memanipulasi undian elektronik dan membuat provokasi untuk menang sebanyak mungkin emas dalam acara silat olahraga dan menyapu bersih enam emas acara silat seni," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan atlet silat negara di sini malam tadi. 

Bagaimanapun, Megat Zulkarnain berkata pesilat negara perlu bersiap sedia untuk berlawan sampai mati di gelanggang bagi membawa pulang emas di Sukan Asia. 

"Jangan takut kalau ditakdirkan mati biar mati dan diusung keluar dari gelanggang dan balik sebagai juara dan pemenang pingat emas.

"Walaupun kita bertanding dalam sukan tetapi ini soal maruah negara dan Jalur Gemilang yang tersemat di dada baju silat. Kita mesti berani mati dalam gelanggang bagi membawa pulang emas.

"Atlet silat olahraga juga tetap kena lawan kerana segala macam perkara boleh berlaku termasuk senjata jatuh, melebihi masa dan lupa gerakan. Kita mesti fokus untuk menang emas," katanya. 

Megat Zulkarnain juga percaya Indonesia akan membuka pagar keselamatan bagi memboleh penonton mereka duduk berhampiran gelanggang untuk memberikan tekanan dan provokasi kepada pesilat dari negara lain terutama Malaysia. 

"Kalau mental pesilat Malaysia tidak kuat maka mereka akan tewas dan gagal raih emas untuk 30 juta rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, saya tetap yakin pesilat negara mampu merealisasikan impian kita mahu menang sekurang-kurangnya tiga emas kerana mereka sudah menjalani latihan intensif dan menyertai pelbagai kejohanan di luar negara, sejak tujuh bulan lalu," katanya. 

 

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 1:33pm
d