arena

'Harap pistol baru bidik tepat'

Oleh BERNAMA

PENEMBAK Malaysia, Johnathan Wong Guanjie berharap pistol baharu yang diperolehnya akan membantu dalam pemburuan pingat di temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Penembak berusia 25 tahun itu baharu saja mendapat pistolnya, Morini CM200E sebelum acara 10m air pistol campuran dipertandingkan buat julung kalinya di Sukan Asia bermula esok.

Dia akan bergandingan dengan rakan senegara Cheah Lee Yean.

Selepas menanti hampir lima bulan, Johnathan mempunyai waktu yang singkat untuk membiasakan diri dengan pistol yang baharu diterimanya itu.

Biarpun berhadapan cabaran untuk lebih mengetahui mengenai pistol yang lebih canggih berbanding model sebelumnya, atlet Sukan Olimpik itu tiada pilihan kerana beliau berhadapan masalah dengan pistol lamanya itu.

“Akhirnya saya menerima berita pistol saya tiba di Kuala Lumpur bulan lalu. Saya dalam kem latihan di Korea Selatan dan pada masa yang sama, tiba-tiba terdapat beberapa masalah pada pistol saya sebelum ini.

“Jadi, saya terpaksa menukar perancangan dan singgah di KL (Kuala Lumpur) untuk mengambil pistol saya sebelum berlepas ke Palembang. Setakat ini saya agak ok dengan pistol ini, tetapi saya perlu lebih masa untuk membiasakan diri dan mengenalinya dengan lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapang Sasar Jakabaring di sini. Johnathan, yang menewaskan Juara Olimpik Rio, Hoang Xuan Vinh dari Vietnam dalam acara 10m air pistol lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lepas, juga bertanding dalam acara perseorangan Selasa ini.

Sementara itu, dalam acara 10m air rifle, Mohamad Lutfi Othman akan bergandingan dengan Nur Izazi Rosli, dalam penyertaan sulung mereka di Sukan Asia.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan Asia ialah dalam edisi Incheon, Korea Selatan, dengan penembak negara membawa pulang dua pingat perak dalam acara 50m rifle prone lelaki dan wanita dan gangsa 50m rifle prone berpasukan wanita, tetapi acara prone tidak dipertandingkan dalam edisi kali ini.

Pengurus pasukan Ong Eng Khor berkata, tumpuan skuad negara pada Sukan Asia kali ini ialah kepada acara campuran 10m air rifle dan 10m air pistol yang baharu diperkenalkan.

“Ini adalah acara baharu, kami tidak tahu bagaimana keadaan pertandingan esok, tetapi kami menjangkakan persaingan adalah sengit kerana kesemua negara akan menghantar pasangan terbaik mereka. Peluang ada di sana,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 5:47pm
d