arena

Karim dilucutkan jawatan

PERSEKUTUAN Olahraga Antarabangsa (IAAF) mengumumkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim kini dilucutkan daripada memegang jawatan dalam badan induk itu.

Keputusan panel penilai IAAF mendapati bahawa beliau  ‘tidak layak’ memegang jawatan dalam badan induk berkenaan.

Bagaimanapun tiada butiran lanjut disediakan oleh IAAF bagi mengulas penyingkiran Karim.

Karim dalam satu dokumentari yang disiarkan media Jerman ARD dituduh melindungi amalan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Dokumentari itu disiarkan pada Mac 2016.

Ia mendakwa satu siasatan bebas membuktikan Karim terbabit dalam beberapa kes doping selain mendedahkan bahawa Karim tidak pernah diambil tindakan oleh Malaysia.

Presiden KOM itu sebelum ini dilaporkan dikenakan tindakan penggantungan enam tahun bermula pada 2012 kerana terbabit dalam kes membantu enam atlet olahraga melarikan diri daripada ujian doping yang dijalankan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini.

Karim juga dituduh terbabit dengan kes doping membabitkan atlet negara ketika temasya Sukan SEA 2011.

Beberapa bulan selepas hukuman enam tahun dijatuhkan, Karim membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Malaysia dan beliau berjaya membatalkan hukuman penggantungan itu. Setahun kemudian beliau dilantik Presiden KOM pada penghujung 2014.

Pada perkembangan sama, IAAF mengesahkan Karim sudahpun membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Tiada komen lanjut akan dibuat oleh IAAF sehingga keputusan hasil rayuan didengar dan diadili CAS,” kata kenyataan IAAF itu.

Karim dilantik ahli majlis IAAF oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015.

Sementara itu usaha mendapatkan Karim bagi mengesahkan perkara itu gagal apabila beliau tidak menjawab panggilan.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 6:46pm
d