arena

Liridon, Sandro penyelamat Kedah

Oleh Izzali Ismail

 

ALOR SETAR: Dua gol Liridon Krasniqi dan satu gol Sandro Da Silva di Stadium Darul Aman mencetus kebangkitan Kedah untuk menewaskan MIFA 3-2.

Keputusan positif ini sekali gus membuka kembali peluang Kedah dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia selepas gagal menghasilkan kemenangan dalam dua perlawaan awal.

MIFA membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi penyerangnya Kpah Sherman yang mudah menolak masuk bola hasil hantaran Beomgeun Bae.

MIFA berpeluang menambah gol kedua apabila diberikan sepakan penalti selepas Sherman dijatuhkan pada minit ke-38, namun peluang terbaik itu disia-siakan oleh Elizeu Araujo yang gagal menewaskan penjaga gawang Abdul Hadi Hamid.

Selang lima minit Kedah pula menerima sepakan penalti selepas Sandro Da Silva dijatuhkan oleh pertahanan MIFA dan Liridon menyempurnakan sepakan untuk menyamakan kedudukan.

Dua minit selepas babak kedua bermula, MIFA kembali di depan apabila hantaran pemain tengahnya Beomgeun Bae tertampan masuk ke gawang Kedah oleh Syazwan Tajuddin.

Liridon sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-59 dan Kedah mendahului permainan pada minit ke-65 hasil sepakan percuma Sandro.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 12:03am
d