arena

'Awasi kelibat Benteke'

Oleh AFP

LONDON: Jurgen Klopp memberi amaran buat Liverpool agar berwaspada dengan ancaman Christian Benteke apabila pencabar gelaran itu berdepan bekas penyerangnya di Crystal Palace awal pagi Selasa.

Skuad Klopp meletakkan diri mereka sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini dengan kemenangan besar 4-0 ke atas West Ham hujung minggu lalu.

Ia permulaan sempurna buat Liverpool untuk menyingkirkan juara bertahan Manchester City selepas Klopp berbelanja £160 juta (RM837.8 juta) pada musim rehat liga.

Namun Klopp percaya ada bahaya menanti mereka dalam kunjungan ke Selhurst Park.

Palace sering memberikan ujian getir buat pasukan gergasi yang berkunjung ke selatan London dan kehadiran Benteke, penyerang Belgium itu adalah sebahagian daripada ancaman itu.

Klopp mewarisi Benteke sewaktu tiba di Anfield pada 2015 namun sukar mencari tempat buat penyerang itu dan membenarkannya menyertai Palace selepas setahun di Merseyside.

Pemain berusia 27 tahun itu menerajui serangan Palace sebelum menang 2-0 di Fulham pada hari pertama kempen musim ini, mencetus ingatan ketika dua jaringan  pemain itu mengecewaskan Liverpool di Anfield pada April 2017.

“Semua orang bercakap bahawa menjual Benteke satu kesilapan kerana skil yang dimilikinya tidak pernah hilang,” kata Klopp.

“Biarpun dia tidak menjaringkan banyak gol musim lalu, dia sentiasa mendapat peluang.”

Benteke bukan satu-satunya ancaman dimiliki barisan penyerang Palace dan pengurus Eagles Roy Hodgson percaya Wilfried Zaha juga mampu merubah masa depan kelab itu. – AFP

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 9:04am
d