arena

Mbappe julang PSG

Oleh AFP

PARIS: Kylian Mbappe menandakan kemunculan sulungnya selepas menjulang Piala Dunia dengan penuh bergaya apabila masuk dari bangku simpanan untuk meledak dua jaringan lewat ketika membantu Paris Saint-Germain membenam Guingamp 3-1, awal pagi tadi.

Nolan Roux terlebih dulu meletakkan tuan rumah di depan, dan berpeluang menjarakkan kedudukan itu, namun dinafikan ketangkasan Gianluigi Buffon dan keputusan video bantuan pengadil (VAR).

Mbappe dibawa masuk pada babak kedua dan hasilnya Neymar menyamakan kedudukan tidak lama kemudian, sebelum sensasi Perancis berusia 19 tahun itu mencetak dua gol pada baki 10 minit terakhir untuk mengesahkan mata penuh.

“Saya mempunyai objektif yang sangat besar, jadi tidak ada masa untuk bermain-main,” kata Mbappe selepas tamat perlawanan.

“Saya membawa sesuatu kepada pasukan tetapi setiap pemain mahu menampilkan prestasi lebih kemas selepas bermula perlahan di awal aksi.”

Ia kini kemenangan kedua Ligue 1 buat PSG sejak dibawah pengendali baharu Thomas Tuchel, selepas mereka membelasah Monaco 4-0 untuk memenangi aksi pembukaan dalam Kejuaraan Trofi-Trofi di China.

“Situasi masih sukar untuk kami kerana pemain belum berada di tahap terbaik selepas tiba lewat daripada Piala Dunia,” kata Tuchel yang mengakui pasukannya bernasib baik tidak ketinggalan 0-3 di separuh masa.

Juara bertahan Ligue 1 itu sekali lagi turun beraksi tanpa nama-nama besar seperti Edinson Cavani, di mana penyerang Uruguay itu masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan paha di Piala Dunia.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 10:41am
d