arena

'Debaran 15 minit' cemaskan Sarri

Oleh Reuters

LONDON: Jurulatih baru Chelsea Maurizio Sarri memuji pemainnya yang menghidangkan aksi mendebarkan sebelum menang 3-2 ke atas Arsenal awal pagi tadi.

Namun mereka membuatkan beliau teringin untuk menghisap rokok kegemarannya sepanjang 15 minit yang ‘menakutkan’ apabila Gunners berjaya bangkit pada pertembungan Liga Perdana Inggeris membabitkan dua kelab London itu.

Dalam permulaan hebat ketika aksi sulung Sarri di Stamford Bridge, Chelsea mengasak Arsenal di kawasan lawan dan mendahului 2-0 dalam tempoh 20 minit sumbangan dua pemain Sepanyol Pedro dan Alvaro Morata.

Pemain tengah Itali Jorginho,  yang dibawa masuk Sarri dari Napoli, menguasai bahagian tengah dan Ross Barkley yang jarang diturunkan di bawah jurulatih terdahulu Antonio Conte, kelihatan gagah dan yakin.

“Saya fikir kami bermain dengan baik sepanjang 25 minit pertama hari ini,” kata Sarri.

“Namun kami perlu terus memberi tekanan ke bahagian lawan. Jika tidak ia akan mencetuskan masalah buat kami. Saya harap kami dapat bermain seperti 25 minit itu sepanjang 90 minit.”

Di tepi padang, Sarri yang menyarung kemeja T biru dan seluar trek, melambai tangannya dengan perasaan kecewa ketika menuntut pemainnya menghalang kemaraan Arsenal apabila Gunners menunjukkan petanda kebangkitan.

Biarpun Sarri memberikan arahan, Henrikh Mkhitaryan dan Alex Iwobi pula menjaringkan gol pada minit ke-37 dan 41 ketika Gunners mensia-siakan beberapa peluang untuk berada di depan.

“Tempoh 15 minit terakhir separuh masa pertama memang teruk. Saya sukakan perlawanan 75 minit itu, bukannya 15 minit lagi. Saya rasa baik saya pergi merokok sepanjang 15 minit itu,” kata Sarri.

Jurulatih Arsenal Unai Emery yang turut berpindah ke London musim panas ini untuk menggantikan Arsene Wenger berkata beliau melihat kekalahan itu secara positif.

Beliau kekal tenang meskipun Arsenal gagal meraih sebarang mata pada dua perlawanan awal musim ini selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan Manchester City minggu lalu.

“Saya fikir kami perlu tenangkan pemain dan terus berusaha,” kata Emery.  – Reuters

 

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 10:47am
d