arena

Strinic 'dipaksa' berehat panjang

Oleh AFP

MILAN: Pertahanan Croatia, Ivan Strinic terpaksa berehat panjang daripada bola sepak selepas dikesan menghadapi masalah jantung, menurut AC Milan hari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu – menjadi tonggak skuad finalis Piala Dunia Croatia, bulan lalu – menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama AC Milan pada Julai lalu dan belum pernah beraksi buat pasukan baharunya itu.

Kelab itu menerusi kenyataannya berkata masalah jantung ditemui ketika menjalani pemeriksaan rutin baru-baru ini dan dia perlu mengambil cuti bagi menangani masalah terbabit.

“Semasa ujian pemeriksaan rutin yang dijalankan ke atas atlet profesional di Itali, Ivan Strinic dikesan mengalami gejala tanda-tanda awal hypertrophy pada bahagian jantung yang memerlukan tindakan selanjutnya,” kata kenyataan daripada laman web Milan.

Strinic dijangka akan memainkan peranan penting dalam pemburuan gelaran liga oleh AC Milan bersama beberapa pemain baharu yang lain termasuk Gonzalo Higuain, Mattia Caldara, Nikola Kalinic dan Pepe Reina.

Strinic, sudah membuat 41 kemunculan buat Croatia, dengan enam daripadanya sepanjang tujuh perlawanan Piala Dunia di Russia, sebelum tumbang 2-4 kepada Perancis di final.

Dia memulakan kariernya bersama Hadjuk Split di negara asalnya itu, dan turut pernah beraksi di Perancis dan Ukraine sebelum menyertai Napoli pada 2015 dan Sampdoria musim lalu. – AFP

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 10:52am
d