arena

'Saya mahu trofi Cincinnati Masters'

Oleh AFP

CIncinnati: Novak Djokovic semakin menghampiri sejarah untuk menjulang gelaran Cincinnati Masters selepas melangkah ke final menerusi kejayaan menumbangkan Marin Cilic 6-4, 3-6, 6-3.

Jaguh Serbia itu, yang tewas dalam lima final terdahulu di gelanggang keras itu yang menjadi medan persiapan terakhir ke Terbuka Amerika Syarikat, berharap untuk memahat namanya selaku pemain pertama memenangi kesemua koleksi sembilan gelaran Masters 1000.

“Semoga saya dapat mencapainya kali ini,” kata Djokovic, yang dijadualkan berdepan Roger Federer yang menewaskan David Goffin, apabila pemain itu menarik diri akibat kecederaan ketika Federer mendahului  7-6 (7/3), 1-1. 

Djokovic dipaksa berhempas pulas sehingga dua jam setengah untuk mengatasi Cilic yang juga pemenang Cincinnati Masters 2016.

“Ia amat sukar. Saya amat gembira untuk layak ke final sekali lagi,” kata Djokovic.

“Ia perlawanan yang penuh mencabar,” tambah juara Wimbledon itu yang mengakui dia berasa terganggu dengan muzik yang kuat dari luar gelanggang pada awal set ketiga.

Dalam kategori wanita, pemain nombor satu dunia Simona Halep berharap tuah akan lebih menyebelahinya selepas mara ke final dengen mencatat kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Aryna Sabalenka.

Bintang Romania itu tewas kepada Serena Williams dalam pemburuan gelaran 2015 dan sekali lagi dinafikan hajatnya itu setahun kemudian kepada Garbine Muguruza.

Untuk esok, dia akan menentang pemain Belanda, Kiki Bertens, yang akan membuat penampilan final ketiga musim ini selepas mengetepikan Petra Kvitova 3-6, 6-4, 6-2. – AFP

 

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 11:29am
d