arena

Cuba bawa pulang pingat - FAM

Oleh Syafiq Aznan

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berharap perjalanan skuad negara tidak terhenti di pusingan 16 terbaik Sukan Asia, sebaliknya mahu anak buah Datuk Ong Kim Swee merebut slot ke suku akhir sekali gus membawa pulang pingat dari temasya itu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kemenangan manis yang dilakar ke atas juara bertahan, Korea Selatan memberi petanda positif kepada mereka dalam usaha meneruskan kemaraan pada edisi kali ini selepas kerap terkandas di peringkat kumpulan pada edisi terdahulu.

Katanya, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan pemain negara sudah membuktikannya apabila mengejutkan gergasi Asia itu 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan pemain tidak seharusnya selesa dengan status selaku juara Kumpulan E memandangkan masih ada baki satu perlawanan bertemu Bahrain di peringkat kumpulan.

“Walaupun ada kemungkinan Kim Swee akan menurunkan barisan simpanan bagi memastikan pemain utama mendapat rehat secukupnya tetapi mereka tetap perlu mengekalkan rentak kemenangan.

“Jadi, saya mengharapkan pemain tidak terbuai-buai dengan kemenangan ke atas Korea Selatan tempoh hari, sebaliknya kekal fokus untuk mengharungi aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Aksi pusingan 16 terbaik adalah sangat mustahak. Apapun, kita perlu terus berusaha untuk mara lebih jauh ke suku akhir dan selepas itu mungkin ke separuh akhir pula.

“Kita akan mencuba sebaik mungkin sekurang-kurangnya untuk membawa pulang pingat,” katanya ketika ditemui pada Forum Penyokong Bersama Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam.

Pada kempen Piala Asia kali ini, Malaysia membuka langkah dengan cemerlang apabila menundukkan Krygyzstan 3-1 sebelum mengecewakan Korea Selatan 2-1 sekali gus membolehkan Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selaku juara Kumpulan E.

Walaupun Malaysia tewas di tangan Bahrain dan Korea Selatan menang ke atas Krygyzstan dalam aksi terakhir kumpulan esok, slot juara Kumpulan E tetap menjadi milik Malaysia berdasarkan rekod pertemuan antara Malaysia dan  Korea Selatan.

Menanti mereka sama ada Jepun atau Vietnam yang akan bertarung sesama sendiri jam 4 petang ini bagi menentukan juara dan naib juara Kumpulan D.

Sekiranya Jepun meraih kemenangan ke atas Vietnam, Malaysia akan menempah pertemuan dengan Vietnam.

Berita berkaitan:

'Saya sangat malu'

'Tahniah skuad bola sepak negara'

Ingat senang nak 'makan' Malaysia?

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 4:14pm
d