arena

Skuad takraw 'ajar' Korea Selatan

Oleh BERNAMA

SKUAD sepak takraw negara menempah tiket ke separuh akhir acara regu berpasukan lelaki pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 setelah menumpaskan Korea Selatan 3-0 pada aksi yang berlangsung di Ranau Hall, Jakabaring Sport City, hari ini.

Anak buah Abdul Talib Ahmad yang wajib mencatat kemenangan pada perlawanan berkenaan mempamerkan aksi bertenaga bermula dengan regu pertama yang diketuai Aidil Aiman Azwawi berhempas-pulas sebelum menundukkan regu Korea Selatan 21-6, 18-21, 21-17.

Perubahan taktikal Abdul Talib yang menurunkan regu utama negara pada regu kedua nyata membuahkan hasil apabila regu yang dibarisi oleh Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong itu mudah membenam usaha Korea Selatan 21-13, 21-13 untuk mengutip mata kedua negara.

Regu ketiga negara yang dipimpin oleh Mohd Syazreenqamar Salehan selaku pengumpan  pula memastikan Malaysia layak ke separuh akhir dengan bergaya apabila mudah menewaskan trio Korea Selatan dengan straight set 24-22, 21-13.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia bertemu juara Kumpulan A sama ada pasukan tuan tumah, Indonesia atau India yang akan membuat perhitungan esok.

Sementara itu, Abdul Talib menyifatkan kejayaan melayakkan diri ke separuh akhir adalah hasil perancangan rapi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum temasya sukan terbesar Asia tersebut bermula.

“Ini semua adalah hasil kerjasama PSM, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang banyak menganalisis cara permainan pasukan lawan dan para pemain berjaya menterjemahkannya dalam perlawanan.

“Selain itu saya melihat ada perkembangan positif dari sudut mental pemain yang lebih tenang mengawal keadaan dalam situasi tegang,” katanya selepas perlawanan berkenaan.

Terdahulu, pasukan negara tunduk 0-3 pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang juara bertahan Thailand.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 9:19pm
d