arena

FELDA kekal rekod tanpa kalah

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

 

KEALPAAN 10 minit terakhir mengundang padah buat PKNS FC apabila terpaksa akur tewas 3-2 kepada FELDA United pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hari ini.

 

Tidak hanya gagal mengekalkan rekod tanpa kalah, pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal pastinya perit untuk menerima hakikat itu terutamanya selepas mereka terlebih dulu mendahului lawan dengan dua gol pada tempoh 20 minit pertama permainan.

 

Keputusan itu menyaksikan The Fighters kekal menerajui Kumpulan B dengan tujuh mata manakala PKNS kedua dengan empat mata.

 

Walaupun FELDA dilihat lebih menguasai permainan namun tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi tonggak importnya, Rafael Ramazotti pada minit ke-15.

 

Selang lima minit kemudian, PKNS kian selesa dan kali ini giliran Faris Ramli mencatat nama selaku penjaring selepas pamer ketenangan dengan menyempurnakan umpanan Mohd Khyril Muhymeen Zambri.

 

Bagaimanapun, pada minit ke-37, kesilapan pertahanan PKNS, Mohammad Qayyum Marjoni Sabil menjatuhkan Gilberto Fortunato dalam kotak penalti mengundang padah dan peluang itu disempurnakan dengan baik seorang lagi import tuan rumah, Iain Ramsay.

 

Pada minit ke-61, PKNS hampir menambah jaringan namun sepakan percuma Romel Ramirez melewati palang gol The Fighters.

 

Berpunca serangan pantas pada minit ke-68, kem FELDA kembali ceria apabila Fortunato tampil tenang melakukan sentuhan penyudah hasil lorongan Thiago Augusto Fernandes.

 

Gol kedua itu nyata meningkatkan semangat FELDA dan hasilnya minit ke-80, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman menyempurnakan peluang terhidang untuk memastikan jaringan ketiga buat The Fighters.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 11:15pm
d