arena

Inter Milan langkah kiri

Oleh AFP

MILAN: Jaringan lewat Edin Dzeko membantu kejayaan AS Roma dalam perlawanan pembukaan Serie A di Torino pada awal pagi tadi tetapi Inter Milan pula mengalami kekalahan 1-0 di Sassuolo.

Kemenangan Roma itu bermakna kelab yang menduduki tiga terbaik pada kempen lalu memenangi kesemua perlawanan pembukaan mereka.

Pasukan juara Juventus, dengan bintang baru yang ditandatangani, Cristiano Ronaldo membuat penampilan sulung, menang 3-2 di Chievo pada Sabtu lalu dengan naib juara, Napoli mencatatkan kemenangan 2-1 kepada Lazio.

Tetapi Inter Milan – yang menduduki tempat keempat musim lalu – mengalami kekalahan awal selepas Domenico Berardi menjaringkan gol penalti pada minit ke-27 untuk memberikan tiga mata kepada lawannya, Modena.

“Ini merumitkan semuanya,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti.

“Kami tewas perlawanan ini kerana satu penalti dan Sassuolo tidak mencipta banyak peluang.”

Sassuolo mendominasi babak pertama, memperoleh satu sepakan penalti apabila Joao Mario menyebabkan Federico Di Francesco jatuh di kawasan penalti.

Penjaring terbanyak Inter Milan, Mauro Icardi hampir menjaringkan gol sebanyak dua kali dengan pemain Croatia, Ivan Perisic juga melakukan percubaan di babak kedua.

Terdahulu, gol tunggal Roma hanya diperoleh satu minit sebelum berakhirnya perlawanan hasil daripada persembahan menakjubkan pemain Belanda, Justin Kluivert, anak lelaki kepada bekas penyerang Barcelona, Patrick Kluivert.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 8:50am
d